Hampir sebulan blog ini tidak ku tulis apa-apa. “Sibuk barangkali”, kata temanku. Hakikatnya, aku bukanlah menteri yang perlu ke sana ke mari menyelesaikan tugasan. Huhu, kecualilah ke Pekan-Gambang tiga kali seminggu (UMP kampus Pekan telah pun dimeriahkan oleh pelajar-pelajar Mekanikal dan Elektrik). Tetapi, sesuatu yang perlu diakui, kebelakangan ini banyak juga tugasan yang perlu diselesaikan. Maklum sahaja, hampir nak ke penghujung sem ini, banyaklah presentation dan kerja-kerja lain yang perlu disiapkan.
Ramadhan dah lama berlalu, Syawal pun dah nak ke penghujung. Sahabat-sahabat ramai tengah berlumba-lumba untuk menyempurnakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Pesan Rasulullah S.A.W : “Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu diikuti dengan (puasa) enam di bulan Syawal, maka (pahalanya) sama seperti ia berpuasa selama setahun.” [HR Muslim]
Jadi, tengah-tengah puasa enam tu, mahu tidak mahu, suasana Ramadhan yang mulia itu sering sahaja terlintas di fikiran. Seronok. Meriah. Huhu, mestilah kan nama pun bulan pesta ibadah. Cerita ustazahku di maahad, muslim arab bila tiba Ramadhan, mereka akan saling menyapa, “Ramadhan kareem!’, dan orang yang disapa akan menjawab, “Wallahu Akram!. Ramadhan mulia, dan ternyata ALLAH itu lagi Maha Mulia, menganugerahkan ni’mat Ramadhan kepada umat Muhammad.
Kalau sebelum masuk Ramadhan, ibadah rasa macam tunggang terbalik, kalau kelas kensel banyak mana pun, tetap rasa tak tenang, tapi dah masuk Ramadhan, semua berusaha betulkan balik kedudukan iman dengan menambah baik kualiti ibadah masing-masing. Lecturer pun bila dalam kelas, tak nampak kerutan nak marah kat wajah, semuanya tenang walaupun kami belajar di dalam kepanasan di UMP Pekan.
Bagi diriku, tiada jaminan yang aku mampu beri sama ada ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain yang telah ku lakukan akan diterimaNYA. Malah, penyesalan tu datang bertubi-tubi sebab sekali lagi aku tidak membuat yang terbaik saat di bulan Ramadhan. Kata teman, kalau nak tau madrasah Ramadhan kita berjaya, lihatlah diri kita selepas perginya Ramadhan. Adakah ibadah kita kembali tunggang terbalik atau kita mampu maintain bersungguh dalam beribadah. Ibadah wajib dan ibadah umum lain.
Seperkara lagi, ada beza Ramadhan yang ku lalui kali ini berbanding Ramadhan yang lepas-lepas (selain SAHAM UMP pertama kali memasak ramai-ramai utk berbuka). Lebih kurang dua minggu berpuasa dan berbuka di rumah, bezanya kali ini, kami sekeluarga agak bersederhana. Kalau Ramadhan lepas-lepas, atas meja makan dapur penuh dengan makanan berbuka. Mak beli sebahagian, abah beli sebahagian, masak pun sebahagian, jadi mana meja tak penuh. Macam-macam lauk, kuih-muih, dan pencuci mulut tapi, yang makannya hanyalah kami bertujuh.
Tapi, kali ini, makanan berbuka kami kadang-kadang hanya sekeping murtabak. Kadang-kadang popia yang Ali adikku suka. Bukannya apa, kami sekeluarga sebenarnya turut serta menjadi penjual di Bazar Ramadhan di padang MPK tepi Masjid Besar Kuantan. Mak bergabung dengan abang, kakak ipar, dan kakakku utk sama-sama jual aneka nasi. Malam mak basuh ayam dan perap ngan rempah. Esok, mak pergi sekolah mengajar, abang mie, kaki ila dan kakak masak nasi ayam, nasi kerabu, dengan nasi beriyani. Siap semua ayam goreng berempah,ulam-ulaman, dalam pukul 2.30 petang, abah pula take over dengan Ali. Mereka angkut kesemua barang jualan dan mula jual dalam pukul 3 petang.
Selepas asar, kami datang membantu untuk berjual sehinggalah sampai waktu berbuka. Hampar tikar belakang gerai, dan berbukalah dengan apa yang ada. Kadang-kadang pakcik gerai sebelah sedekah murtabak yang dia jual, kadang-kadang pula makcik gerai sebelah kiri bagi ikan bakar. Dan kalau jualan nasi kami tidak habis, kamilah yang habiskan. Dan situasi di padang Masjid itu memang menarik. Banyak kelompok-kelompok keluarga, kawan-kawan memenuhi padang untuk berbuka Bagusnya berbuka di sini, lepas je makan, boleh segera tunaikan solat maghrib di masjid. Tetapi, yang tak bestnya, sakit mata dan hati melihat orang-orang yang selamba lagi menghisap rokok,berbual-bual, sedangkan waktu maghrib sangat singkat waktunya.
Selepas maghrib, waktunya kami bertolak balik dan membersihkan periuk-periuk yang ada. Selalunya, ayam goreng berempah akan berlebih, dan adikku Nuzul akan menghabiskan beberapa ketul. Syukur, dia boleh terima keadaan berbuka di dalam sedikit sederhana berbanding waktu dia berbuka di Ramadhan yang lepas-lepas.
Kesederhanaan sangatlah dituntut dalam Islam. “jangan membazir”, kata sahabatku Lia. Dia terkesan dengan tazkirah Friday Wisdom berkenaan kanak-kanak yang dihambat kemiskinan melampau di Negara-negara yang dilanda konflik. Mereka tidak mengira sisa makanan yang mereka makan itu bertarikh bila, tetapi merasa cukup asal mulut mereka mengunyah sesuatu.
Berbeza bukan dengan keadaan kita di sini. Ramadhan kali ini baru nak belajar bersederhana walhal sudah bertahun-tahun sudah terbiasa membazir. Sudah tahu perut cepat kenyang selepas berbuka, kita tambah lagi minum bermacam-macam air buah-buahan yang kita beli di bazaar. Belum lagi kuih-muih yang kadang-kadang tak termakan akibat kekenyangan.
Huhu, entahlah. Pastinya Ramadhan itu menjadi waktu tamrin terbaik sekiranya kita tau mengambil manfaat. Ada di dalamnya pelajaran kualiti ibadah, sehingga tercari-cari malam lailatul qadar. Ada juga pelajaran menjaga tutur kata, agar tidak terjerumus menyakitkan hati dan mengumpat orang lain. Semua pelajaran termasuk bersederhana, amanah, jihad seperti pahlawan-pahlawan Badar al-Kubra, dan lain-lain hanya akan menjadi pelajaran yang termahal sekiranya kita mengembalikan niat kita hanya kerana ALLAH Taala.
Saja..untuk membangkitkan nostalgia Ramadhan. Siapa yang tidak mahu menjadikan keindahan Ramadhan itu di dalam bulan-bulan yang lain? Semua mahu bukan?
Thursday, October 8, 2009
Subscribe to:
Posts (Atom)