Tuesday, December 22, 2009

Muhasabah Akademik

Alhamdulillah, result semester baru-baru ini sudah pun diumumkan secara rasmi. Teman-teman ramai yang bergembira dengan keputusan masing-masing. Kata mereka, pointer naik sedikit berbanding semester lepas atau maintain cemerlang. Tetapi, ada juga teman-teman yang bersedih kerana keputusan tidak sebaik yang diidamkan. Pun begitu, mengutip motivasi daripada lirik lagu Rahmat Ujian nyanyian Mestica:



Harus ada rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma

Itu jelaslah membuktikan ALLAH mengasihimu setiap masa

Diuji tahap keimanan sedangkan ramai terbiar dilalaikan

Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmatNYA


Baik cemerlang, separa cemerlang, kurang cemerlang, mudah-mudahan kita semua bersyukur dan menanam azam utk memberi yang terbaik pada kesempatan yang akan datang.

“Kak, result saya jatuh sem ni, bawah 2.5, cmne ni kak?

Pertanyaan sebegini membuatku resah. Resah kerana berkongsi kesedihan bersamanya. Resah kerana diriku gagal menjadi contoh. Resah kerana aku tak punya apa-apa utk ku berikan padanya buat pedoman berharga.

Sepanjang hampir empat tahun memegang amanah sebagai pelajar kejuruteraan mekanikal, perjalanan akademik ku banyak yang duka daripada suka. Aku bermula dengan kegagalan. Kepayahan dan lambat menguasai subjek major mekanikal sering membuatku ketinggalan berbanding teman sekuliah. Hingga satu ketika pernah akal ‘nakal’ku meyakinkanku utk merasa cukup sahaja dan berpuas hati utk pointer di bwh 2.5 tanpa rasa bersalah.

Namun, ALLAH yang Maha Memberi Petunjuk mengurniakan rahmatNYA sesuai dengan keadaan hambaNYA. Aku yang tersangatlah lalai diberiNYA kekuatan utk menilai kembali prestasi akademik agar tidak terus hanyut dalam dunia ciptaanku sendiri.


Target subjek yang boleh dikuasai

Pernah suatu ketika aku bersama rumetku, Kak Z berjumpa senior mekanikal usai meeting pemantapan da’wah. Fokus perbincangan kami tentunya tips-tips utk cemerlang sem berikutnya. Ku bentangkan senarai subjek semester depan yang mana membaca nama subjeknya sahaja membuatku ralat seketika.

Senior tersebut memberi info awal yang sangat berguna mengenai subjek-subjek tersebut. Dia malahannya menanda beberapa subjek yang perlu ku dapatkan A atau sekurang-kurangnya B (memberi nilai 3.00) utk subjek tiga, dua dan satu kredit. Pesannya, “kenal dan target subjek yang boleh enti kuasai. Sebahagian subjek memerlukan enti banyak membaca,subjek sebegini selalunya pelajar siswi boleh score tinggi . “

Info awal mengenai subjek yang asing dalam pemikiran sememangnya penting bagi mempersiapkan diri utk menghadapinya. Kenal dan target boleh jadi ianya angan-angan sahaja. Tetapi, kenal dan target subjek sebenarnya boleh mencetuskan semangat dan diterjemahkan kepada usaha. Kenal dan target membawa kita utk mengenali seterusnya menguasai subjek tersebut. Boleh jadi kita akan mencari nota-nota, assignment-assignment, buku-buku rujukan daripada senior lebih awal sebagai satu langkah positif utk mengenali dan menguasai.




Perlulah berhati waja

Tanyalah pada sesiapa pun, kejayaan, kesenangan bukan sesuatu yang mudah diperoleh. Setelah menangis bergelen-gelen air mata, rasa sesak, dan kesukaran-kesukaran lain yang menghimpit, belum tentu kejayaan menghampiri. Namun, berhati waja itu perlu. Bahkan, tersangat perlu.

Ketika di tahun pertama pengajian, pernah aku gagal satu subjek, sementara subjek-subjek lain hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Oleh kerana subjek itu tidak ditawarkan pada semester pendek, maka aku perlu menunggu semester yang sama pada tahun kedua pengajian untuk mengulanginya.

Tiba waktunya, aku mengulangi subjek tersebut di dalam kelas junior. Namun, aku tidak berhati waja. Hatiku tidak setabah mana utk menerima ujian. Mungkin disebabkan malu, menerbitkan rasa malas dan ragu. Ternyata, junior-juniorku lebih berpotensi utk menguasai berbanding diriku yang masuk kali kedua mempelajarinya.

Hatiku berperang utk semester itu, dan hasilnya mengejutkan. Ku bayangkan aku akan lulus dengan kadar cukup makan, tetapi keputusan menidakkan bayanganku. Aku gagal buat kali keduanya utk subjek yang sama. Sedih! Ternyata kesedihan utk kali ini lagi memeritkan dan menyesakkan.

Dari rumah, aku berkejar ke kampus utk bertemu dengan Timbalan Dekan Fakulti yang mengajarku subjek tersebut. Kunyatakan harapan agar dia meluluskanku utk subjek itu,supaya aku tidak sangkut pada tahun ketiga pengajian. Namun, beliau menggelengkan kepala. Katanya, “Saya tak boleh. Subjek ini sebenarnya senang. Ambillah lagi subjek ini. “

Aku terpaku seketika kehilangan harapan. Namun, sejurus itu, beliau yang sangat memahami pelajar menghadiahkanku mutiara berharga.

“Keupayaan pelajar adalah tidak sama. Sebahagiannya maju dan laju. Dan sebahagiannya tidak. Tidak semua yang boleh mengambil subjek-subjek yang berat dalam masa yang singkat. Sebaiknya, kamu rancanglah perjalanan akademik kamu di sini supaya apabila kamu grad nanti, kamu tidak grad sekadar cukup-cukup makan, tetapi grad dengan pencapaian yang cemerlang.”

Aku pulang petang itu dengan bermacam perasaan. Hampa awalnya apabila kegagalanku itu tidak boleh bertukar dengan kelulusan. Namun, suntikan semangat dan perangsang yang ku peroleh secara langsung darinya perlahan-lahan menjernihkan perasaan. Ku positifkan bahawa ini adalah tarbiyah dari ALLAH Taala, maka siapakah aku untuk menolaknya?

Dan berikutnya, pada tahun ketiga bersama junior-junior lain pula, ku kuatkan langkahku utk mendaftar subjek itu. Malu rasanya sekiranya mereka mengetahui senior mereka ini sudah pun tiga kali mengambil subjek yang mereka boleh sempurnakan dengan sekali ambil. Mahu tidak mahu, perasaan rendah diri meluap-luap setiap kali kaki ini melangkah ke dewan kuliah.

Aku tidak mahu ke kelas. Aku mahu ponteng! Tetapi hairan, aku tiba jua ke kuliah tersebut. Bertahan seolah-olah tiada peperangan yang berkecamuk dalam fikiran dan perasaanku. Rekod kedatanganku utk subjek itu penuh. Markah test pula semakin baik. Malahannya, ALLAH sudi mengirimkan kesejukan hati melalui sahabat-sahabatku. Kami berbincang soalan-soalan sebagai persediaan Final Exam dengan penuh motivasi.

Alhamdulillah, akhirnya aku lulus subjek itu dengan nilai 3.33 (B+). Bukan A, bukan juga A-. Tetapi, keputusan yang diperolehi cukup membuatku insaf dan merasai kasih sayang ALLAH Taala buat ke sekian kalinya. Air mata mengiringi sujud syukurku. Sesiapa saja boleh memperlekehkanku utk ni’mat ini. Aku berjuang bukan untuk mendapat A , tetapi aku berjuang utk menidakkan segala macam hasutan, rendah diri, malas, ragu, malu ke kuliah, dan tribulasi lain utk mengkhatamkan subjek ini.

Aku tidak melangkah sendiri utk ke kuliah, tetapi ALLAH lah yang menetapkan kakiku utk terus berhati waja. Untuk ku insafi bahawa kesedihan yang pernah aku hamburkan akibat gagal subjek ini, akibat dimarahi ayahku, boleh dijernihkan dengan berhati waja.

Bertahanlah, asalkan kau ketahui niatmu, dengan kekuatan yang dipinjamkan ALLAH kepadamu!


Memegang jawatan merupakan satu peluang

Sahabat-sahabatku ramai meluahkan kebimbangan andainya prestasi akademik jatuh setelah ditaklifkan menjadi kepimpinan sesebuah kelab atau organisasi. Bimbang tenggelam dek kesibukan tugasan lebih-lebih lagi tugasan da’wah dan tarbiyah.

Aku tidak terkecuali. Saat bahuku diberatkan dengan taklifan ini, pernah ku suarakan kebimbangan. Tambahan pula, prestasi akademikku ketika itu tidak mampu dijadikan contoh. Tidak kira di posisi mana sekali pun jawatan itu, amanah tetap amanah. Amanah itu memerlukan kami semua ketika itu bekerja lebih daripada sepatutnya.

Riak-riak tekanan terukir. Memastikan kelangsungan da’wah menjadi priority. Sehinggalah tekanan itu yang asalnya hanyalah riak-riak kecil berubah menjadi jalur-jalur yang semakin memanjang. Kami tertekan. Sehingga sebahagian daripada kami mula mengabaikan tugasan da’wah ini kononnya mahu menyeimbangkannya dengan tugasan akademik.

Melihatkan situasi yang semakin tidak keruan, usrah tergempar diadakan. Berpesan-pesan utk kebaikan. Usrah untuk meluahkan ketensionan. Usrah memupuk kesatuan. Usrah memperbaharui niat dan tujuan. Akhirnya, kami sepakat bertolong bantu, menolak kepentingan diri dalam urusan da’wah, akademik, tarbiyah, kerohanian, dan lain-lain.

“..Bertolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa..” [Al-Maaidah:2]

Alhamdulillah, pelbagai urusan biar pun sukar menjadi mudah. Musyawarah di saat orang lain tidur kami jadikan asas dalam urusan menyelesaikan masalah. Sehinggalah di dalam urusan akademik pun, kami bermotivasi untuk memberi yang terbaik. Kami tukarkan persepsi jawatan bukan penghalang tetapi merupakan peluang dalam memperbaiki akademik.

Semakin kami dihimpit kesibukan berorganisasi, semakin kami cakna akademik, kerana kesibukan memerlukan kami menyusun dan melaksanakan kesemuanya secara teratur. Meski tidak sesempurna mana, kami berusaha.

Sementelah memegang jawatan, pastinya akademik kami juga turut menjadi perhatian. Biar pun kami berusaha bukan untuk dilihat orang, namun berusaha untuk menjadi contoh selaku pemegang amanah menjadi dorongan untuk terus bertahan dalam desakan yang datang dari pelbagai arah.

Saat bertukar kepimpinan tiba jua. Sebak mengenangkan pengorbanan yang dilakukan sahabat-sahabat kepimpinan. Sebak kerana akhirnya kami tetap bertahan menanggung kesukaran. Pastinya kelompongan itu tetap ada sepanjang memikul taklifan, namun sebagai manusia yang lemah, kami telah sedaya memberikan yang terbaik.

Dan apabila keputusan diumumkan, syukur Alhamdulillah sebahagian besar daripada kami memperoleh pencapaian atas nilai 3 yang mana sebelumnya kami memperoleh bawah 2.5. Misi untuk memperbaiki keputusan akademik telah menampakkan hasil.

Namun, seperkara yang jelas bagiku, aku tetap merasakan bahawa aku tidak memberikan yang terbaik dalam mana-mana urusan baik urusan da’wah mahupun akademik, tetapi ALLAH Taala Yang Maha Pemurah telah sudi mengurniakan ni’mat ini kepadaku.

Sebab itu, apabila aku dirundung kesukaran dalam urusan-urusan tersebut, di saat niat untuk berjuang hampir kelemasan, aku sungguh terpujuk dengan pujukan ALLAH Taala yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad:7]

Aku tidak menulis cerita ini untuk membuktikan sesuatu, tetapi rasailah sendiri ni’mat kejayaan apabila kita ditaklifkan memegang amanah. Tidak kira posisi itu kecil atau besar, jadikan ia satu peluang dan ruang untuk membaiki prestasi akademik asal saja kita sentiasa memperbaharui keikhlasan dalam berjuang.


Taqarrub ilallah

Sebagai pelajar muslim, aku yakin ramai yang bersetuju bahawa kita hanya akan tenang apabila mendekatkan diri kepada ALLAH Taala.

“Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram” [Ar-ra’d:28]

Semakin kita nervous menghadapi peperiksaan, presentation, semakin kita mendekatkan diri kepada ALLAH Taala. Memerhati gelagat rumetku menjelang presentation PSM dan Plant Design, aku bersyukur kerana mempunyai teman sebegitu. Usai dua rakaat solat sunat, diteruskan dengan solat sunat yang lain. Disambung pula bacaan ayat al-Quran. Awal-awal semester pun mereka begitu, tetapi suasana sungguh mendamaikan pada waktu kami sepatutnya berdebar-debar untuk menghadapi perjuangan akademik.

“Salam, abah doakan dayah dpt menghadapi exam dgn tenang dan jaya, banyakkan selawat dan baca alam nasyrah, abah akan sembahyang hajat mlm ni..”

“Salam. Abah dah sembahyang utk dayah buat yg terbaik dan bertenang. Selamat maju jaya.”

Dua mesej abah kirimkan menjelang hari presentation PSM dan peperiksaan, Mesej yang mengundang rasa sebakku di pagi hari presentation. Terasa seolah-olah aku masih tidak berusaha sehabis mungkin. Namun, aku berasa tenang selesai berdoa memohon kekuatan.

Kerana aku yakin semakin kita memohon pertolongan ALLAH, semakin kita berasa yakin ALLAH akan bersama kita. Luruskan niat, hanya ALLAH satu tujuan!

Syukur, Athirah berjaya mendapat tempat sebagai projek PSM 20 terbaik. Norlia kelegaan apabila Plant Design tidak menghampakan. Begitu juga dengan Fatihah dan diriku, kami masing-masing menadah kesyukuran berjaya mengharungi kelelahan PSM.

Syukran ya ALLAH, Kau masih sudi melebarkan payung rahmatMU kepada kami walaupun kami ini adalah hambaMU yang kurang bersyukur. Ampunkan kami dan sahabat-sahabat seperjuangan kami.


Memperbaharui niat

Walaupun niat sepatutnya menjadi perkara yang mula-mula perlu dibincangkan, sengaja ku letakkan di bahagian pengakhiran. Kerana kita ini kadang-kadang bagaikan lalang, memerlukan kita sentiasa refreshkan niat agar kita tidak terliang-liuk terlalu lama.

Hari ini, hari ini kita kan berjuang,

Jangan ragu jangan takut hadapi rintangan

Maju langkah rapatkan safmu di medan perang

Luruskan niat hanya ALLAH satu tujuan


Lagu Ruhul Jadid walaupun intipatinya mcm utk kobarkan semangat pejuang Palestin, namun kita di sini boleh mengambil inspirasi utk berjuang dalam lapangan akademik juga. Reset niat, mudah-mudahan semester hadapan menjanjikan perubahan yang lebih baik.

Aku menutup bicara ini dengan memohon kemaafan andainya cerita-cerita ini kurang menyenangkan. Aku berlindung kepada ALLAH semoga dijauhi penyakit hati dalam menukilkan posting ini. Hanya kerana aku tidak punya apa-apa sebagai pembakar motivasi insan lain.