Saturday, September 5, 2009

Hari Jadi Ukhuwah


“ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan Hidayah Rahim, ALLAH selamatkan kamu”

Masih terngiang-ngiang lafaz doa berlagu itu di telinga dan fikiranku. Bukan kerana aku acap kali melihat video yang kurakamkan ketika mereka menyanyi beramai-ramai sebulan yang lalu, namun bagiku di situ, ketika itu, aku merasakan sesuatu. Sesuatu yang manis cukup membuatkan rasa bahagia bertamu.

Mulanya, hanya sahabat terdekat yang datang ke bilik meraikan sambutan hari lahir, siap kena paksa minum kopi radix masin hasil pakatan Lia dan Fatihah. Tetapi, selepas itu, tetamu yang datang semakin ramai. Adik-adik usrah yang dahulunya malu-malu menegur kami, ketika itu merekalah yang datang menyeri. Usik mengusik, bertanya khabar, seolah-olah pertemuan sebuah keluarga besar di hari perayaan.

Kebetulan, hari lahirku sama dengan hari lahir adik usrahku, Ayu. Jam 12 malam tidak menjadikan kami mengantuk, sebaliknya detik itu menjadi permulaan ikatan yang erat di antara kami yang sudah ‘veteran’ ni dengan adik-adik penyambung mata rantai perjuangan da’wah. Permulaan untuk kami ikat kuatkan pertalian kami. Permulaan untuk ukhuwah bakal teruji.

Di dalam usrah, masing-masing laju sahaja berbicara soal ukhuwah. Ukhuwah itu persaudaraan. Ukhuwah itu terjalin atas ikatan aqidah. Ukhuwah itu tolong-menolong. Ukhuwah itu bersangka baik. Ukhuwah itu bergurau senda. Dan lagi, ukhuwah perlu saling memahami.

Tapi, sentuh bab reality, masing-masing perlu mengakui bahawa kita pernah cuai di dalam berukhuwah. Kita lupa, bergurau tak ingat dunia bukannya tanda ukhuwah adalah sejati. Tapi, boleh jadi makan diri kerana kita mungkin menyakitkan hati. Kita juga lupa, atau sengaja lupa, waktu sahabat ditimbunkan bebanan kerja, tak terdetik pun rasa nak tolong sahabat, kononnya kita juga punya beban kerja terlampau. Walhal, tolong itu banyak cara. Buatlah ikut yang kita paling mampu.

Kita juga kadang-kadang fail dalam memberi dan menerima nasihat. Dah tau sahabat tengah merudum sedikit semangat beribadahnya, kita hanya biarkan sahaja. “Biarlah, pandailah dia sendiri terasa yang dia dah lama tak solat berjemaah”. “ Isy, aku tegur nanti terasa hati pula”. Dan bermacam lagi alasan yang tidak menyumbang kepada erti ukhuwah.

Menegur kan perlu berhikmah. Hikmah itu berbeza bagi setiap individu. Sebahagiannya lunak hati apabila ditegur dengan lembut dan tidak mencela. Sebahagiannya pula lunak hati apabila ditegur dengan tegas. Yang sedikit dahsyat, sebahagiannya akan tersedar dirinya lalai, apabila dia dipukul atau dipulau. Buatlah macam mana pun, tetapi pastikan bil hikmah. Jangan tanya padaku, kalau si fulan itu, bagaimana nak tegur dia secara berhikmah, kerana anda lebih tahu akan sifat dan perangai sahabat-sahabat anda. Tidak kira, lembut, sederhana atau keras cara anda, jangan lupa anda kasihkan sahabat anda, kerana itu anda menegur.

Begitu juga dalam bab menerima nasihat. Jangankan kalian, yang menulis ini pun punyai ego. Tapi, siapalah kita ini nak merasakan diri sendiri betul sentiasa. Bukankah kita semua ini hambaNYA yang sedang berusaha menjadikan dunia sebagai ladang untuk kita tuai hasilnya di akhirat kelak? Mohonlah kepada ALLAH moga-moga kita tak putus berusaha untuk ikhlas dalam menerima teguran.

Omar Al-Telmesani menceritakan ahli Ikhwanul Muslimin sebahagian besarnya sering bertanya kembali apakah kesalahan mereka apabila ditegur atau dikritik. Sekiranya didapati mereka tidak melakukan kesalahan bagi sesuatu yang telah ditegur itu, mereka terus memuji ALLAH kerana mereka sedang berada di dalam kebaikan, dan tidak merasa kecil hati kepada orang yang telah mengkritik.

Sebaliknya, sekiranya benar mereka telah melakukan kesalahan dalam teguran itu, mereka segera memperbaiki kesilapan mereka dan memuji ALLAH.Maafkanku kerana aku bukan orang selayaknya itu mengulas panjang soal ini, kerana aku juga pernah ditegur dan dikritik baik secara lisan dengan lembut atau tegas mahupun secara perbuatan. Bohonglah jika ku katakan, sekali pun aku tidak pernah terasa atas kritikan. Namun, bila dihitung kembali, atas sebab menerima teguranlah, kita mampu kembali bahagia beribadah dengan petunjuk ALLAH. Sebab apa? Sebab aku punyai sahabat yang ikhlas menegur dan mampu mencantikkan lagi ukhuwah antara kami.

Menyentuh soal ukhuwah, sungguh ia tidak kan habis. Pandulah hati dan fikiran ketika berukhuwah. Kerana ukhuwah akan sentiasa teruji dalam keadaan yang kita mahu ataupun tidak.

“ Pada hari sahabat-sahabat karib: sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal saleh)” – Az-Zukhruf: 67

Buat adik-adik yang sedang kudalamkan sayang kerana ALLAH, mahu tahu sebuah harapan seorang ahli Ikhwanul Muslimin berkaitan ukhuwah?

Beberapa orang ahli Ikhwanul Muslimin telah dipanggil ke Kaherah untuk disoal siasat oleh pegawai suruhan Gamel Abdul Nasser pada awal Ramadhan thn 1965. Perjalanan dari penjara ke mahkamah menjelang maghrib menyebabkan mereka terpaksa berbuka puasa di tengah perjalanan. Mengetahui sahabatnya seorang yang tidak tahan lapar, salah seorang dari keduanya, telah memberi makanannya kepada sahabatnya tadi, bahkan apabila tiba waktu penyiasatan pada jam 10 malam, sahabat yang memberi makan tadi masih tidak berbuka.

Akhlak yang ada pada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin ketika soal-siasat menyebabkan pegawai-pegawai penyiasat merasa tertarik. Kata pegawai tersebut, “ Aku hendak bercakap-cakap sekejap dengan anda. Aku sungguh tertarik dengan adab dan ketenanganmu, maka apakah gerangannya yang membuat kamu menyertai kumpulan mereka yang menjadi pengancam keamanan itu?” (Bagi pegawai itu, Ikhwanul Muslimin adalah pengancam keselamatan).

Jawab ahli Ikhwanul Muslimin tersebut, “ Aku telah bergaul dengan mereka (Ikhwanul Muslimin) semenjak lebih 30 tahun, aku telah bersama dengan mereka pada waktu mereka senang dan susah, gembira dan dukacita. Aku suka bergaul dengan mereka dan aku akan terus kekal bersama mereka, walau bagaimana sekalipun qada dan qadar yang ditentukan ALLAH”.

Bersedialah, selesai ku noktahkan tulisanku ini, pastinya aku menerima ujian dalam berukhuwah. Cuma, waktunya tidak ku pasti. Bahkan, aku juga tidak pasti bagaimana caranya mengawal masalah ukhuwah itu nanti, tetapi satu doaku, semoga ukhuwah yg kan teruji itu menjadikan kami semua semakin matang dan bersyukur atas ni’mat ukhuwah.

Masih samar lagi bagaimana untuk anda menyumbang kemanisan ukhuwah? Mulakan dengan kita berdoa ketika sujud di sepertiga malam. Doakan semoga ALLAH mengampuni dosa kita dan dosa sahabat-sahabat yang dikasihi, mudah-mudahan kita semua tergolong dari golongan yang mendapat naungan ALLAH di akhirat kelak. Amin.