Saturday, July 10, 2010

LI @ Laboratory


Alhamdulillah segala puji bagi ALLAH, selesai sudah lima hari di bawah seliaan Laboratory. Exciting! Maaf kepada student kimia, saya nak meluahkan sesuatu yg sudah pun kalian biasa. (Maklumla budak baru belajar). Waste Water Treatment analysis. Dua hari pertama di dalam lab saya kepeningan. Bau-bauan bahan kimia yang saya tidak biasa mengurangkan keproaktifan diri. Pening yang bukan sedikit sehingga terbawa-bawa sampai di rumah. Mujur ada air panas di pantry yang membantu melegakan.

Staf-staf yang baik hati mengajarkan saya cara-cara menganalisa menggunakan instrument-instrument yg ada. Beberapa pelajaran yang sempat saya pelajari adalah analisa pH, kandungan TSS, kandungan nitrate, kandungan phosphate, total dan partial alkalinity untuk sample waste water. Untuk sample pellet, saya sempat belajar menganalisa color dan kandungan moisture di dalam pellet. Huhu, bertahun-tahun meninggalkan makmal kimia sejak di matrikulasi, alhamdulilah peluang yang ada kali ini tidak saya sia-siakan.

Keberadaan saya di dalam lab walaupun untuk tempoh seketika membantu saya memahami data-data WW yang saya maksudkan di dalam entry sebelum ini. Walaupun ini bukan bidang saya, tetapi ilmu ALLAH Taala ini sangatlah menarik. Syukran ya ALLAH! Yang penting kerja di dalam lab memerlukan skill. Berbeza betul cara saya dengan cara mereka mengendalikan ujian. Saya waktu nak sarungkan glove pun terketar-ketar dan tersangkut. Cara nak basuh cylinder pun berbeza. Cara saya main redah jer. Cara mereka ber skill.

Nak timbang kertas turas koyak jugak sikit dapat kt saya. Huhu, ralat eksperimen. Semoga ALLAH Taala berterusan melimpahkan rahmatNYA buat staf-staf yang banyak memudahcara dan memberi pengajaran-penagajaran kepada pelajar seperti saya. Allahumma bariklana fi kulli haal,amiin.

Ptg jumaat lepas, General Manager GM panggil datang menghadap. Cuak tu kalau bos besar panggil, rupa-rupanya dia beri assignment baru. InsyaALLAH dikesempatan lain akan saya ceritakan. Doakan saya ye sahabat agar saya boleh menyempurnakan tugasan baru ini. Di samping minggu depan bermula pula episode di bahagian Maintenance. Bak kata seorang staf, xperla masuk maintenance dah itu bidang awak (saya), tetapi frankly speaking, banyak-banyak department, maintenance la yg saya cuba jauhi. Hehe, bukan nak set minda begitu, tapi awal-awal saya sudah mengukur keupayaan diri yang tidak berilmu mana dalam bidang ini. Kurniakanlah daku petunjukMU ya ‘Aliim.

Dan terima kasih kepada sahabatku yang mengingatkan utk menyempatkan diri bersolat sunat dhuha. Bos besar panggil cuak, tetapi panggilan Raja Yang Maha Besar sepatutnya perlu terlebih cuak dengan taqwa. Penat pening bekerja sekalipun, laksanakan lah solat fardhu utamakanlah panggilanNYA. Ingatan ini ku tulis buat diri yang kurang bersyukur.

Menghitung diri yang hampir sebulan menjalani LI, saya masih mencari-cari kekuatan dan kelemahan diri untuk dimuhasabah. Belajar membawa diri di tempat orang. Terjatuh terngaduh saya serahkan kepada ALLAH, mudah-mudahan beroleh hasanah. Ya ALLAH, jangan tinggalkan kami…

Sahabat-sahabat, bagaimana keadaan kalian? Soalan yang ku lontarkan dengan do’a agar kalian juga baik-baik dan bersinergi.

Utk sahabat2 dan adik2 yg bakal meneruskan pengajian di UMP, selamat meneruskan kecemerlangan. Bersyukur kerana kita masih lagi terpilih untuk sekali lagi menerokai ilmu ALLAH. Happy Studying!


Friday, July 2, 2010

Catatan LI

Hari ini adalah hari yang ke 15 menjalani latihan industri di Gebeng. Rutin harian bermula 7 Pagi bertolak menaiki Si Hijau dan sampai kira-kira jam 7.30 pagi. Selama lebih kurang dua minggu ini saya diletakkan di bawah seliaan seorang Chemical Engineer perempuan yang sememangnya banyak membantu utk proses adaptasi di tempat baru ini.

Alhamdulillah segala puji bagi ALLAH Sang Pengatur seluruh urusan hamba-hambaNYA, saya masih lagi berdiri dgn meminjam secebis dari sebesar-besar kekuatanNYA. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang diingati. Kelakar rasanya di awal-awal kerja sehinggalah sekarang, kami saling bermesej bertanya khabar iman dan khabar kerja. Kadang-kadang ceritanya simple sahaja tetapi boleh mengundang senyum yang panjang.

“Kami mulakn kerja dengan exercise dan lagu company* “ (nama company dirahsiakan).

“Hari ni saya kene tegur sebab bersembang”

“Balik keje awal hari ni sebab pegawai tu xde”

“Jap lagi kite kene pegi Waste Water. Kat cni ramai pekerja lelaki”

“Xleh masuk lab lagi sbb xpakai safety shoes”

“Saya tengah kursus skrg kat Swiss Garden, klu sempat kita jumpa”

“Ada atas bas ni, xleh nak ajar detail”

Simple, tetapi memberi energi. Seolah-olah mereka bekerja bersama-sama saya di bawah satu company yang sama. Ikat kuatkan lah ikatan ini ya ALLAH..

Setakat hari ni, Alhamdulillah proses pembelajaran terus berlangsung walaupun saya menyedari saya belum mencapai proaktif. Seronok sebenarnya memahami berkenaan waste water. Memang xtau apa-apa pasal WW ni, Harapkan Lia ajerlah yg duk sebut hari-hari masa kt bilik. Pening tu pening jugalah melihat data-data berkenaan reaktor-reaktor ni, tetapi SV saya cukup baik melayan pertanyaan-pertanyaan saya.

Perancangan utk minggu-minggu seterusnya saya bakal diletakkan di bawah Laboratory dan kemudian Maintenance sebelum di attachkan secara full time di bawah seorang Mechanical Engineer. Cuak juga.. teringat masa ME meminta saya menyiapkan drawing utk projek installation alat ganti kat sebuah vessel. Tang melukis satu perkara, tang nak imagine tu kelakar rasa. Siap duk pejam-pejam mata kat site menghadap vessel sorang-sorang. Duk memikir macam mana nak install bende alah tu.

Kelakar-kelakar juga, ingat Hidayah, jauh lagi proses pembelajaran ketika berpraktikal. Saya sebenarnya cukup takut apabila di assigned utk buat seswatu perkara, Takut tak dapat nak beri yg terbaik. Hanya kepada ALLAH lah kami berserah diri. Thanks ALLAH coz giving us strength. Tiada lah daya dan upaya kami melainkan dari ALLAH Rabbul Jalil semata-mata. Jangan tinggalkan kami walau sekadar sekelip mata. Bantulah kami agar dapat kami melaksanakan amanah praktikal ini dengan sebaik-baiknya. Amiin ya Rabb.

Thursday, April 29, 2010

Wa andzir asyiiratakal aqrabiin


Kadang-kadang saya mahu meluah tanpa dikenali. Mahu membebel, mahu menasihati, mahu membenci, mahu bereaksi dengan tiada yang tahu emosi siapakah itu?

Akan tetapi kerap kali juga saya terjeda, mengambil nafas baru untuk memikir-mikir diri. Jujur kepada diri berat rasanya tetapi wajib. Bertanggungjawab terhadap emosi dan tindakan juga amatlah berat tetapi juga wajib. Dan memikir-mikir tadi membawa saya refreshkan niat apa tujuan saya berkongsi di ruangan ini.

Suatu ketika saya berborak-borak dan bergurau senda dengan kakak kandung melalui alam maya. Dah lama tidak berborak macam-macam yang diperbualkan dan dipertanyakan. Sehingga saya terkeluar ‘ayat-ayat ganaz’ ataupun term-term yang digunapakai anak-anak muda skrg. Dan kakak saya menjawab, “Wahh, mana pergi ayat-ayat SAHAM mu?”

Maknanya mana pergi ayat-ayat baik @ peringatan yang seperti selalu dikeluarkan oleh teman-teman SAHAM (Sahabat Masjid UMP). Saya diam di situ. Memikir betapa saya rasa-rasanya menjadi dua orang yang berbeza di hadapan dua golongan yang berbeza. Di sebelah saya bisa menjadi ‘baik’ dan di sebelah lagi saya bisa menjadi “nakal’.

Saya tidak cuba melontarkan persoalan betapa da’wah kita memerlukan kita bereaksi mengikut waqie’ dan mad’u. Mad’u ganas kita pun kadang-kadang jadi ganas. Mad’u begitu kita pun begitu. Tidak. Tetapi persoalan yang saya maksudkan adalah mengapa di hadapan golongan terdekat sebagai contohnya kakak saya tadi, saya tidak mampu untuk mengeluarkan kata-kata nasihat, bentuk-bentuk peringatan dan teguran sebagaimana saya biasa berbuat demikian di hadapan teman-teman saya terutama teman-teman SAHAM saya sendiri. Pendek kata, mengapa sukar bagi diri saya berda’wah kepada keluarga kaum kerabat berbanding berda’wah kepada orang lain?

Da’wah bil haal

Saya mula search di dalam internet meskipun saya seakan-akan tahu jawapannya. Kerana saya malu untuk menyampaikan da’wah disebabkan saya tidak memeri lakukan perbuatan-perbuatan yang baik semasa bersama mereka. Mungkin ada tetapi terlalu sedikit.

Kalau tiba sahaja musim cuti di rumah, teman-teman ramai yang mengingatkan jadilah anak yang paling soleh dan solehah ketika di rumah. Tetapi saya bermuhasabah sepanjang empat tahun saya bercuti ketika belajar di Universiti Malaysia Pahang, berapa ‘solehah’ kah saya ketika berpeluang bersama mereka?

Da’wah bil haal saya tidak menjadi disebabkan diri saya sendiri. Saya mahu adik-adik saya tidak meninggalkan solat malah mahu mereka menjadi yang terawal, tetapi alih-alih kualiti solat saya bagaimana? Saya harapkan adik beradik saya boleh diharap untuk menolong mak dan abah sewaktu saya masih berada di hostel, akan tetapi apabila saya berpeluang berbakti di rumah, sekerap manakah pertolongan yang saya mampu berikan kepada kedua ibu bapa saya sendiri?

Peritnya bermuhasabah atas kejujuran ini. Hanya disebabkan kekhilafan diri.

Wa andzir asyiiratakal aqrabiin

“Dan berilah peringatan kepada keluarga kalian yang dekat”

Betapa keluarga harus dijadikan objek terawal da’wah yang harus diberikan perhatian. Pembinaan diri mereka sebahagian tanggungjawab kita. Saya terkesan betapa saya lalai di dalam tanggungjawab ini selepas membaca beberapa helai peringatan-peringatan yang dicatatkan di dalam buku ‘Cinta di Rumah hasan Al-Banna’.

Tidak menjadi anak sulung tidak bermakna saya terlepas daripada tanggungjawab ini. Asal sahaja kesedaran, kefahaman, keinginan, keihlasan itu mula wujud, membina diri sendiri, menyumbang di dalam pembinaan ahli keluarga, teman-teman dan sesiapa sahaja menjadi suatu keperluan. Keperluan berda’wah.

Kalau pun tidak dimulakan dengan memberi kata-kata yang baik, mulakan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik. Awal menunaikan solat, awal membantu ibu bapa, tidak merungut yang bukan-bukan atau apa sahaja bentuk da’wah bil haal yang boleh.

Semoga muhasabah ini membawa hasanah. Kebaikan di dalam mewujudkan dan menyuburkan rumahku syurgaku. Maafkan atas kekhilafan di dalam berbicara. Exam menanti pada hari lusa, tetapi saya perlu juga memuntahkannya disini.

Catatan: Sela waktu maghrib tadi, saya terkesan dengan solat seorang hamba. Sehingga saya ditarik untuk merasai keikhlasannya. Terima kasih sahabat.

Wednesday, April 21, 2010

Saat diri melampaui batas


Saya benci apabila saya melampaui batas

Rasanya seakan-akan diri ini maha banyak kesilapan

Rasa-rasanya tidak patut mengaku da’ei tetapi diri masih kekal begini.

Thogho (melampaui batas), adapun merujuk kepada tindakan yang melampaui batas dalam kema’siatan. Serasa ma’siat dan kelalaian bersarang di dalam diri, pastilah mengundang tidak tenangnya sekeping hati.

Maaf, tidak pandai ku definisikan erti melampaui batas. Carilah di dalam internet pastinya ada. Bahkan banyak dan berinformasi.

Cuma, anda sendiri tahu bila waktunya anda melampaui batas. Tinggal menilai dengan mata hati.

Sukarnya meluahkan di sini. Pesan seorang guru, berterusanlah bermu’amalah dan bergerak kerja. Selagi apa yang diperbuat adalah benar. Ibarat memandu kereta, tekanlah minyak utk teruskan perjalanan anda selagi jalan anda adalah benar, selagi cara memandu anda adalah benar, tetapi cepat-cepatlah menekan brek sekiranya anda sudah terlajak! Maksudnya berhenti dari terus melakukan sesuatu yang sudah kita kenalpasti melampaui batas.

Ada orang melampaui batas apabila masa yang ada sepatutnya diisi dengan berusrah, tadabbur Al-Quran, mengulangkaji pelajaran diisinya dengan menelaah cerita-cerita Korea, melayari internet bukan pada yang sepatutnya atau apa sahaja bentuk kerugian pada dirinya.

Kerugian yang digariskan sebagai melampaui batas untuk dirinya. Sebagaimana kita insan yang lemah dan tidak sempurna, hitunglah diri bahawa sebenarnya kita pernah melampaui batas. Cuma, kita sering sahaja meng’indah’kan perlakuan melampaui batas itu.

"dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdo’a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdo’a kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan." [Yunus: 12]

Astaghfirullahal ‘azim! Sesaknya dada memikirkan bahawa diri pernah melampaui batas. Buatlah U-turn. Fitrah manusia itu akan kembali kepada Tuhannya.

Lupakah kita akan beberapa ciri golongan beriman yg ALLAH Taala sebutkan di dalam surah Al-Mukminuun? rujuk Surah Al-Mukminuun ayat 1-10

Mereka yang khusyuk solatnya,

menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna,

menunaikan zakat,

memelihara kemaluannya (kecuali kpd isteri-isteri yg sah),

memelihara amanah-amanahnya,

dan memelihara solatnya.

Ini bukan pernyataan yang keras dan rigid, tetapi inilah hambatan yang keluar akibat merusuhnya sikap melampaui batas, sehingga memerlukan masa untuk beruzlah dan bermuhasabah. Seterusnya berubah kepada hasanah.

Sungguh, diri ini lupa atau sengaja lupa bahawa orang yang mampu menahan dirinya dari hawa nafsunya akan dapat menjaga dirinya dari kecenderungan berbuat buruk. Mendidik diri untuk menyukai apa yang disukai oleh ALLAH S.W.T walaupun bertentangan dengan kehendak kita dan mendidik diri untuk membenci apa yang tidak diredhai oleh ALLAH S.W.T walaupun kita gemar sekali kepadanya.

Potret golongan manakah yang mahu kita contohi? Mereka yang disebut sebagai golongan kanan atau mereka yang disebut sebagai golongan kiri?

Pilihan di tangan kita. Jauh jalannya, sukar mengekalkannya, namun berdoa dan beramallah agar kita tidak menjadi dari kalangan mereka yang tersalah pilih.

ALLAH jangan tinggalkan aku lagi –wali band


Wednesday, February 17, 2010

Si Hijau Masuk Bengkel

Assalamualaikum...huhu, dengan izin ALLAH akhirnya si hijau masuk bengkel sekali lagi, setelah berbagai-bagai kerosakan. Kali ini, disebabkan satu kemalangan telah berlaku melibatkan empat buah kenderaan. Dan si hijau di tempat ketiga..

Sesungguhnya harta tidak kekal, si hijau anugerah ALLAH dan DIA ambil semula utk diberiNYA anugerah yg lain.
Paling ku syukuri drebar n ko-drebar alhamdulillah tidak mengalami kecederaan. Alhamdulillah...

Kepada pemandu-pemandu UMP sekalian, utamakanlah keselamatan. Walaupun diri ini tak layak nak berpesan camtu, tp pesan jugakla...

Tuesday, December 22, 2009

Muhasabah Akademik

Alhamdulillah, result semester baru-baru ini sudah pun diumumkan secara rasmi. Teman-teman ramai yang bergembira dengan keputusan masing-masing. Kata mereka, pointer naik sedikit berbanding semester lepas atau maintain cemerlang. Tetapi, ada juga teman-teman yang bersedih kerana keputusan tidak sebaik yang diidamkan. Pun begitu, mengutip motivasi daripada lirik lagu Rahmat Ujian nyanyian Mestica:



Harus ada rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma

Itu jelaslah membuktikan ALLAH mengasihimu setiap masa

Diuji tahap keimanan sedangkan ramai terbiar dilalaikan

Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmatNYA


Baik cemerlang, separa cemerlang, kurang cemerlang, mudah-mudahan kita semua bersyukur dan menanam azam utk memberi yang terbaik pada kesempatan yang akan datang.

“Kak, result saya jatuh sem ni, bawah 2.5, cmne ni kak?

Pertanyaan sebegini membuatku resah. Resah kerana berkongsi kesedihan bersamanya. Resah kerana diriku gagal menjadi contoh. Resah kerana aku tak punya apa-apa utk ku berikan padanya buat pedoman berharga.

Sepanjang hampir empat tahun memegang amanah sebagai pelajar kejuruteraan mekanikal, perjalanan akademik ku banyak yang duka daripada suka. Aku bermula dengan kegagalan. Kepayahan dan lambat menguasai subjek major mekanikal sering membuatku ketinggalan berbanding teman sekuliah. Hingga satu ketika pernah akal ‘nakal’ku meyakinkanku utk merasa cukup sahaja dan berpuas hati utk pointer di bwh 2.5 tanpa rasa bersalah.

Namun, ALLAH yang Maha Memberi Petunjuk mengurniakan rahmatNYA sesuai dengan keadaan hambaNYA. Aku yang tersangatlah lalai diberiNYA kekuatan utk menilai kembali prestasi akademik agar tidak terus hanyut dalam dunia ciptaanku sendiri.


Target subjek yang boleh dikuasai

Pernah suatu ketika aku bersama rumetku, Kak Z berjumpa senior mekanikal usai meeting pemantapan da’wah. Fokus perbincangan kami tentunya tips-tips utk cemerlang sem berikutnya. Ku bentangkan senarai subjek semester depan yang mana membaca nama subjeknya sahaja membuatku ralat seketika.

Senior tersebut memberi info awal yang sangat berguna mengenai subjek-subjek tersebut. Dia malahannya menanda beberapa subjek yang perlu ku dapatkan A atau sekurang-kurangnya B (memberi nilai 3.00) utk subjek tiga, dua dan satu kredit. Pesannya, “kenal dan target subjek yang boleh enti kuasai. Sebahagian subjek memerlukan enti banyak membaca,subjek sebegini selalunya pelajar siswi boleh score tinggi . “

Info awal mengenai subjek yang asing dalam pemikiran sememangnya penting bagi mempersiapkan diri utk menghadapinya. Kenal dan target boleh jadi ianya angan-angan sahaja. Tetapi, kenal dan target subjek sebenarnya boleh mencetuskan semangat dan diterjemahkan kepada usaha. Kenal dan target membawa kita utk mengenali seterusnya menguasai subjek tersebut. Boleh jadi kita akan mencari nota-nota, assignment-assignment, buku-buku rujukan daripada senior lebih awal sebagai satu langkah positif utk mengenali dan menguasai.




Perlulah berhati waja

Tanyalah pada sesiapa pun, kejayaan, kesenangan bukan sesuatu yang mudah diperoleh. Setelah menangis bergelen-gelen air mata, rasa sesak, dan kesukaran-kesukaran lain yang menghimpit, belum tentu kejayaan menghampiri. Namun, berhati waja itu perlu. Bahkan, tersangat perlu.

Ketika di tahun pertama pengajian, pernah aku gagal satu subjek, sementara subjek-subjek lain hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Oleh kerana subjek itu tidak ditawarkan pada semester pendek, maka aku perlu menunggu semester yang sama pada tahun kedua pengajian untuk mengulanginya.

Tiba waktunya, aku mengulangi subjek tersebut di dalam kelas junior. Namun, aku tidak berhati waja. Hatiku tidak setabah mana utk menerima ujian. Mungkin disebabkan malu, menerbitkan rasa malas dan ragu. Ternyata, junior-juniorku lebih berpotensi utk menguasai berbanding diriku yang masuk kali kedua mempelajarinya.

Hatiku berperang utk semester itu, dan hasilnya mengejutkan. Ku bayangkan aku akan lulus dengan kadar cukup makan, tetapi keputusan menidakkan bayanganku. Aku gagal buat kali keduanya utk subjek yang sama. Sedih! Ternyata kesedihan utk kali ini lagi memeritkan dan menyesakkan.

Dari rumah, aku berkejar ke kampus utk bertemu dengan Timbalan Dekan Fakulti yang mengajarku subjek tersebut. Kunyatakan harapan agar dia meluluskanku utk subjek itu,supaya aku tidak sangkut pada tahun ketiga pengajian. Namun, beliau menggelengkan kepala. Katanya, “Saya tak boleh. Subjek ini sebenarnya senang. Ambillah lagi subjek ini. “

Aku terpaku seketika kehilangan harapan. Namun, sejurus itu, beliau yang sangat memahami pelajar menghadiahkanku mutiara berharga.

“Keupayaan pelajar adalah tidak sama. Sebahagiannya maju dan laju. Dan sebahagiannya tidak. Tidak semua yang boleh mengambil subjek-subjek yang berat dalam masa yang singkat. Sebaiknya, kamu rancanglah perjalanan akademik kamu di sini supaya apabila kamu grad nanti, kamu tidak grad sekadar cukup-cukup makan, tetapi grad dengan pencapaian yang cemerlang.”

Aku pulang petang itu dengan bermacam perasaan. Hampa awalnya apabila kegagalanku itu tidak boleh bertukar dengan kelulusan. Namun, suntikan semangat dan perangsang yang ku peroleh secara langsung darinya perlahan-lahan menjernihkan perasaan. Ku positifkan bahawa ini adalah tarbiyah dari ALLAH Taala, maka siapakah aku untuk menolaknya?

Dan berikutnya, pada tahun ketiga bersama junior-junior lain pula, ku kuatkan langkahku utk mendaftar subjek itu. Malu rasanya sekiranya mereka mengetahui senior mereka ini sudah pun tiga kali mengambil subjek yang mereka boleh sempurnakan dengan sekali ambil. Mahu tidak mahu, perasaan rendah diri meluap-luap setiap kali kaki ini melangkah ke dewan kuliah.

Aku tidak mahu ke kelas. Aku mahu ponteng! Tetapi hairan, aku tiba jua ke kuliah tersebut. Bertahan seolah-olah tiada peperangan yang berkecamuk dalam fikiran dan perasaanku. Rekod kedatanganku utk subjek itu penuh. Markah test pula semakin baik. Malahannya, ALLAH sudi mengirimkan kesejukan hati melalui sahabat-sahabatku. Kami berbincang soalan-soalan sebagai persediaan Final Exam dengan penuh motivasi.

Alhamdulillah, akhirnya aku lulus subjek itu dengan nilai 3.33 (B+). Bukan A, bukan juga A-. Tetapi, keputusan yang diperolehi cukup membuatku insaf dan merasai kasih sayang ALLAH Taala buat ke sekian kalinya. Air mata mengiringi sujud syukurku. Sesiapa saja boleh memperlekehkanku utk ni’mat ini. Aku berjuang bukan untuk mendapat A , tetapi aku berjuang utk menidakkan segala macam hasutan, rendah diri, malas, ragu, malu ke kuliah, dan tribulasi lain utk mengkhatamkan subjek ini.

Aku tidak melangkah sendiri utk ke kuliah, tetapi ALLAH lah yang menetapkan kakiku utk terus berhati waja. Untuk ku insafi bahawa kesedihan yang pernah aku hamburkan akibat gagal subjek ini, akibat dimarahi ayahku, boleh dijernihkan dengan berhati waja.

Bertahanlah, asalkan kau ketahui niatmu, dengan kekuatan yang dipinjamkan ALLAH kepadamu!


Memegang jawatan merupakan satu peluang

Sahabat-sahabatku ramai meluahkan kebimbangan andainya prestasi akademik jatuh setelah ditaklifkan menjadi kepimpinan sesebuah kelab atau organisasi. Bimbang tenggelam dek kesibukan tugasan lebih-lebih lagi tugasan da’wah dan tarbiyah.

Aku tidak terkecuali. Saat bahuku diberatkan dengan taklifan ini, pernah ku suarakan kebimbangan. Tambahan pula, prestasi akademikku ketika itu tidak mampu dijadikan contoh. Tidak kira di posisi mana sekali pun jawatan itu, amanah tetap amanah. Amanah itu memerlukan kami semua ketika itu bekerja lebih daripada sepatutnya.

Riak-riak tekanan terukir. Memastikan kelangsungan da’wah menjadi priority. Sehinggalah tekanan itu yang asalnya hanyalah riak-riak kecil berubah menjadi jalur-jalur yang semakin memanjang. Kami tertekan. Sehingga sebahagian daripada kami mula mengabaikan tugasan da’wah ini kononnya mahu menyeimbangkannya dengan tugasan akademik.

Melihatkan situasi yang semakin tidak keruan, usrah tergempar diadakan. Berpesan-pesan utk kebaikan. Usrah untuk meluahkan ketensionan. Usrah memupuk kesatuan. Usrah memperbaharui niat dan tujuan. Akhirnya, kami sepakat bertolong bantu, menolak kepentingan diri dalam urusan da’wah, akademik, tarbiyah, kerohanian, dan lain-lain.

“..Bertolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa..” [Al-Maaidah:2]

Alhamdulillah, pelbagai urusan biar pun sukar menjadi mudah. Musyawarah di saat orang lain tidur kami jadikan asas dalam urusan menyelesaikan masalah. Sehinggalah di dalam urusan akademik pun, kami bermotivasi untuk memberi yang terbaik. Kami tukarkan persepsi jawatan bukan penghalang tetapi merupakan peluang dalam memperbaiki akademik.

Semakin kami dihimpit kesibukan berorganisasi, semakin kami cakna akademik, kerana kesibukan memerlukan kami menyusun dan melaksanakan kesemuanya secara teratur. Meski tidak sesempurna mana, kami berusaha.

Sementelah memegang jawatan, pastinya akademik kami juga turut menjadi perhatian. Biar pun kami berusaha bukan untuk dilihat orang, namun berusaha untuk menjadi contoh selaku pemegang amanah menjadi dorongan untuk terus bertahan dalam desakan yang datang dari pelbagai arah.

Saat bertukar kepimpinan tiba jua. Sebak mengenangkan pengorbanan yang dilakukan sahabat-sahabat kepimpinan. Sebak kerana akhirnya kami tetap bertahan menanggung kesukaran. Pastinya kelompongan itu tetap ada sepanjang memikul taklifan, namun sebagai manusia yang lemah, kami telah sedaya memberikan yang terbaik.

Dan apabila keputusan diumumkan, syukur Alhamdulillah sebahagian besar daripada kami memperoleh pencapaian atas nilai 3 yang mana sebelumnya kami memperoleh bawah 2.5. Misi untuk memperbaiki keputusan akademik telah menampakkan hasil.

Namun, seperkara yang jelas bagiku, aku tetap merasakan bahawa aku tidak memberikan yang terbaik dalam mana-mana urusan baik urusan da’wah mahupun akademik, tetapi ALLAH Taala Yang Maha Pemurah telah sudi mengurniakan ni’mat ini kepadaku.

Sebab itu, apabila aku dirundung kesukaran dalam urusan-urusan tersebut, di saat niat untuk berjuang hampir kelemasan, aku sungguh terpujuk dengan pujukan ALLAH Taala yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad:7]

Aku tidak menulis cerita ini untuk membuktikan sesuatu, tetapi rasailah sendiri ni’mat kejayaan apabila kita ditaklifkan memegang amanah. Tidak kira posisi itu kecil atau besar, jadikan ia satu peluang dan ruang untuk membaiki prestasi akademik asal saja kita sentiasa memperbaharui keikhlasan dalam berjuang.


Taqarrub ilallah

Sebagai pelajar muslim, aku yakin ramai yang bersetuju bahawa kita hanya akan tenang apabila mendekatkan diri kepada ALLAH Taala.

“Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenteram” [Ar-ra’d:28]

Semakin kita nervous menghadapi peperiksaan, presentation, semakin kita mendekatkan diri kepada ALLAH Taala. Memerhati gelagat rumetku menjelang presentation PSM dan Plant Design, aku bersyukur kerana mempunyai teman sebegitu. Usai dua rakaat solat sunat, diteruskan dengan solat sunat yang lain. Disambung pula bacaan ayat al-Quran. Awal-awal semester pun mereka begitu, tetapi suasana sungguh mendamaikan pada waktu kami sepatutnya berdebar-debar untuk menghadapi perjuangan akademik.

“Salam, abah doakan dayah dpt menghadapi exam dgn tenang dan jaya, banyakkan selawat dan baca alam nasyrah, abah akan sembahyang hajat mlm ni..”

“Salam. Abah dah sembahyang utk dayah buat yg terbaik dan bertenang. Selamat maju jaya.”

Dua mesej abah kirimkan menjelang hari presentation PSM dan peperiksaan, Mesej yang mengundang rasa sebakku di pagi hari presentation. Terasa seolah-olah aku masih tidak berusaha sehabis mungkin. Namun, aku berasa tenang selesai berdoa memohon kekuatan.

Kerana aku yakin semakin kita memohon pertolongan ALLAH, semakin kita berasa yakin ALLAH akan bersama kita. Luruskan niat, hanya ALLAH satu tujuan!

Syukur, Athirah berjaya mendapat tempat sebagai projek PSM 20 terbaik. Norlia kelegaan apabila Plant Design tidak menghampakan. Begitu juga dengan Fatihah dan diriku, kami masing-masing menadah kesyukuran berjaya mengharungi kelelahan PSM.

Syukran ya ALLAH, Kau masih sudi melebarkan payung rahmatMU kepada kami walaupun kami ini adalah hambaMU yang kurang bersyukur. Ampunkan kami dan sahabat-sahabat seperjuangan kami.


Memperbaharui niat

Walaupun niat sepatutnya menjadi perkara yang mula-mula perlu dibincangkan, sengaja ku letakkan di bahagian pengakhiran. Kerana kita ini kadang-kadang bagaikan lalang, memerlukan kita sentiasa refreshkan niat agar kita tidak terliang-liuk terlalu lama.

Hari ini, hari ini kita kan berjuang,

Jangan ragu jangan takut hadapi rintangan

Maju langkah rapatkan safmu di medan perang

Luruskan niat hanya ALLAH satu tujuan


Lagu Ruhul Jadid walaupun intipatinya mcm utk kobarkan semangat pejuang Palestin, namun kita di sini boleh mengambil inspirasi utk berjuang dalam lapangan akademik juga. Reset niat, mudah-mudahan semester hadapan menjanjikan perubahan yang lebih baik.

Aku menutup bicara ini dengan memohon kemaafan andainya cerita-cerita ini kurang menyenangkan. Aku berlindung kepada ALLAH semoga dijauhi penyakit hati dalam menukilkan posting ini. Hanya kerana aku tidak punya apa-apa sebagai pembakar motivasi insan lain.