Kadang-kadang saya mahu meluah tanpa dikenali. Mahu membebel, mahu menasihati, mahu membenci, mahu bereaksi dengan tiada yang tahu emosi siapakah itu?
Akan tetapi kerap kali juga saya terjeda, mengambil nafas baru untuk memikir-mikir diri. Jujur kepada diri berat rasanya tetapi wajib. Bertanggungjawab terhadap emosi dan tindakan juga amatlah berat tetapi juga wajib. Dan memikir-mikir tadi membawa saya refreshkan niat apa tujuan saya berkongsi di ruangan ini.
Suatu ketika saya berborak-borak dan bergurau senda dengan kakak kandung melalui alam maya. Dah lama tidak berborak macam-macam yang diperbualkan dan dipertanyakan. Sehingga saya terkeluar ‘ayat-ayat ganaz’ ataupun term-term yang digunapakai anak-anak muda skrg. Dan kakak saya menjawab, “Wahh, mana pergi ayat-ayat SAHAM mu?”
Maknanya mana pergi ayat-ayat baik @ peringatan yang seperti selalu dikeluarkan oleh teman-teman SAHAM (Sahabat Masjid UMP). Saya diam di situ. Memikir betapa saya rasa-rasanya menjadi dua orang yang berbeza di hadapan dua golongan yang berbeza. Di sebelah saya bisa menjadi ‘baik’ dan di sebelah lagi saya bisa menjadi “nakal’.
Saya tidak cuba melontarkan persoalan betapa da’wah kita memerlukan kita bereaksi mengikut waqie’ dan mad’u. Mad’u ganas kita pun kadang-kadang jadi ganas. Mad’u begitu kita pun begitu. Tidak. Tetapi persoalan yang saya maksudkan adalah mengapa di hadapan golongan terdekat sebagai contohnya kakak saya tadi, saya tidak mampu untuk mengeluarkan kata-kata nasihat, bentuk-bentuk peringatan dan teguran sebagaimana saya biasa berbuat demikian di hadapan teman-teman saya terutama teman-teman SAHAM saya sendiri. Pendek kata, mengapa sukar bagi diri saya berda’wah kepada keluarga kaum kerabat berbanding berda’wah kepada orang lain?
Da’wah bil haal
Saya mula search di dalam internet meskipun saya seakan-akan tahu jawapannya. Kerana saya malu untuk menyampaikan da’wah disebabkan saya tidak memeri lakukan perbuatan-perbuatan yang baik semasa bersama mereka. Mungkin ada tetapi terlalu sedikit.
Kalau tiba sahaja musim cuti di rumah, teman-teman ramai yang mengingatkan jadilah anak yang paling soleh dan solehah ketika di rumah. Tetapi saya bermuhasabah sepanjang empat tahun saya bercuti ketika belajar di Universiti Malaysia Pahang, berapa ‘solehah’ kah saya ketika berpeluang bersama mereka?
Da’wah bil haal saya tidak menjadi disebabkan diri saya sendiri. Saya mahu adik-adik saya tidak meninggalkan solat malah mahu mereka menjadi yang terawal, tetapi alih-alih kualiti solat saya bagaimana? Saya harapkan adik beradik saya boleh diharap untuk menolong mak dan abah sewaktu saya masih berada di hostel, akan tetapi apabila saya berpeluang berbakti di rumah, sekerap manakah pertolongan yang saya mampu berikan kepada kedua ibu bapa saya sendiri?
Peritnya bermuhasabah atas kejujuran ini. Hanya disebabkan kekhilafan diri.
Wa andzir asyiiratakal aqrabiin
“Dan berilah peringatan kepada keluarga kalian yang dekat”
Betapa keluarga harus dijadikan objek terawal da’wah yang harus diberikan perhatian. Pembinaan diri mereka sebahagian tanggungjawab kita. Saya terkesan betapa saya lalai di dalam tanggungjawab ini selepas membaca beberapa helai peringatan-peringatan yang dicatatkan di dalam buku ‘Cinta di Rumah hasan Al-Banna’.
Tidak menjadi anak sulung tidak bermakna saya terlepas daripada tanggungjawab ini. Asal sahaja kesedaran, kefahaman, keinginan, keihlasan itu mula wujud, membina diri sendiri, menyumbang di dalam pembinaan ahli keluarga, teman-teman dan sesiapa sahaja menjadi suatu keperluan. Keperluan berda’wah.
Kalau pun tidak dimulakan dengan memberi kata-kata yang baik, mulakan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik. Awal menunaikan solat, awal membantu ibu bapa, tidak merungut yang bukan-bukan atau apa sahaja bentuk da’wah bil haal yang boleh.
Semoga muhasabah ini membawa hasanah. Kebaikan di dalam mewujudkan dan menyuburkan rumahku syurgaku. Maafkan atas kekhilafan di dalam berbicara. Exam menanti pada hari lusa, tetapi saya perlu juga memuntahkannya disini.
Catatan: Sela waktu maghrib tadi, saya terkesan dengan solat seorang hamba. Sehingga saya ditarik untuk merasai keikhlasannya. Terima kasih sahabat.
2 comments:
duhai sahabat,
sungguh diri terkesan dengan luahan & nasihat mu ini, dalam menyelusuri luahan hatimu, tanpa disangka diri sendiri yang bermuhasabah.. terima kasih sahabat..
"wazakkir fainnazzikraa tanfa'ul mukminin"
"dan berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bg org mukmin"-azzariyat:55
maaf atas kekurangan, tiada yg bgsnye pd diri ini..
keluarga bahagia atas bahagianya iman
Post a Comment