Thursday, April 29, 2010

Wa andzir asyiiratakal aqrabiin


Kadang-kadang saya mahu meluah tanpa dikenali. Mahu membebel, mahu menasihati, mahu membenci, mahu bereaksi dengan tiada yang tahu emosi siapakah itu?

Akan tetapi kerap kali juga saya terjeda, mengambil nafas baru untuk memikir-mikir diri. Jujur kepada diri berat rasanya tetapi wajib. Bertanggungjawab terhadap emosi dan tindakan juga amatlah berat tetapi juga wajib. Dan memikir-mikir tadi membawa saya refreshkan niat apa tujuan saya berkongsi di ruangan ini.

Suatu ketika saya berborak-borak dan bergurau senda dengan kakak kandung melalui alam maya. Dah lama tidak berborak macam-macam yang diperbualkan dan dipertanyakan. Sehingga saya terkeluar ‘ayat-ayat ganaz’ ataupun term-term yang digunapakai anak-anak muda skrg. Dan kakak saya menjawab, “Wahh, mana pergi ayat-ayat SAHAM mu?”

Maknanya mana pergi ayat-ayat baik @ peringatan yang seperti selalu dikeluarkan oleh teman-teman SAHAM (Sahabat Masjid UMP). Saya diam di situ. Memikir betapa saya rasa-rasanya menjadi dua orang yang berbeza di hadapan dua golongan yang berbeza. Di sebelah saya bisa menjadi ‘baik’ dan di sebelah lagi saya bisa menjadi “nakal’.

Saya tidak cuba melontarkan persoalan betapa da’wah kita memerlukan kita bereaksi mengikut waqie’ dan mad’u. Mad’u ganas kita pun kadang-kadang jadi ganas. Mad’u begitu kita pun begitu. Tidak. Tetapi persoalan yang saya maksudkan adalah mengapa di hadapan golongan terdekat sebagai contohnya kakak saya tadi, saya tidak mampu untuk mengeluarkan kata-kata nasihat, bentuk-bentuk peringatan dan teguran sebagaimana saya biasa berbuat demikian di hadapan teman-teman saya terutama teman-teman SAHAM saya sendiri. Pendek kata, mengapa sukar bagi diri saya berda’wah kepada keluarga kaum kerabat berbanding berda’wah kepada orang lain?

Da’wah bil haal

Saya mula search di dalam internet meskipun saya seakan-akan tahu jawapannya. Kerana saya malu untuk menyampaikan da’wah disebabkan saya tidak memeri lakukan perbuatan-perbuatan yang baik semasa bersama mereka. Mungkin ada tetapi terlalu sedikit.

Kalau tiba sahaja musim cuti di rumah, teman-teman ramai yang mengingatkan jadilah anak yang paling soleh dan solehah ketika di rumah. Tetapi saya bermuhasabah sepanjang empat tahun saya bercuti ketika belajar di Universiti Malaysia Pahang, berapa ‘solehah’ kah saya ketika berpeluang bersama mereka?

Da’wah bil haal saya tidak menjadi disebabkan diri saya sendiri. Saya mahu adik-adik saya tidak meninggalkan solat malah mahu mereka menjadi yang terawal, tetapi alih-alih kualiti solat saya bagaimana? Saya harapkan adik beradik saya boleh diharap untuk menolong mak dan abah sewaktu saya masih berada di hostel, akan tetapi apabila saya berpeluang berbakti di rumah, sekerap manakah pertolongan yang saya mampu berikan kepada kedua ibu bapa saya sendiri?

Peritnya bermuhasabah atas kejujuran ini. Hanya disebabkan kekhilafan diri.

Wa andzir asyiiratakal aqrabiin

“Dan berilah peringatan kepada keluarga kalian yang dekat”

Betapa keluarga harus dijadikan objek terawal da’wah yang harus diberikan perhatian. Pembinaan diri mereka sebahagian tanggungjawab kita. Saya terkesan betapa saya lalai di dalam tanggungjawab ini selepas membaca beberapa helai peringatan-peringatan yang dicatatkan di dalam buku ‘Cinta di Rumah hasan Al-Banna’.

Tidak menjadi anak sulung tidak bermakna saya terlepas daripada tanggungjawab ini. Asal sahaja kesedaran, kefahaman, keinginan, keihlasan itu mula wujud, membina diri sendiri, menyumbang di dalam pembinaan ahli keluarga, teman-teman dan sesiapa sahaja menjadi suatu keperluan. Keperluan berda’wah.

Kalau pun tidak dimulakan dengan memberi kata-kata yang baik, mulakan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik. Awal menunaikan solat, awal membantu ibu bapa, tidak merungut yang bukan-bukan atau apa sahaja bentuk da’wah bil haal yang boleh.

Semoga muhasabah ini membawa hasanah. Kebaikan di dalam mewujudkan dan menyuburkan rumahku syurgaku. Maafkan atas kekhilafan di dalam berbicara. Exam menanti pada hari lusa, tetapi saya perlu juga memuntahkannya disini.

Catatan: Sela waktu maghrib tadi, saya terkesan dengan solat seorang hamba. Sehingga saya ditarik untuk merasai keikhlasannya. Terima kasih sahabat.

Wednesday, April 21, 2010

Saat diri melampaui batas


Saya benci apabila saya melampaui batas

Rasanya seakan-akan diri ini maha banyak kesilapan

Rasa-rasanya tidak patut mengaku da’ei tetapi diri masih kekal begini.

Thogho (melampaui batas), adapun merujuk kepada tindakan yang melampaui batas dalam kema’siatan. Serasa ma’siat dan kelalaian bersarang di dalam diri, pastilah mengundang tidak tenangnya sekeping hati.

Maaf, tidak pandai ku definisikan erti melampaui batas. Carilah di dalam internet pastinya ada. Bahkan banyak dan berinformasi.

Cuma, anda sendiri tahu bila waktunya anda melampaui batas. Tinggal menilai dengan mata hati.

Sukarnya meluahkan di sini. Pesan seorang guru, berterusanlah bermu’amalah dan bergerak kerja. Selagi apa yang diperbuat adalah benar. Ibarat memandu kereta, tekanlah minyak utk teruskan perjalanan anda selagi jalan anda adalah benar, selagi cara memandu anda adalah benar, tetapi cepat-cepatlah menekan brek sekiranya anda sudah terlajak! Maksudnya berhenti dari terus melakukan sesuatu yang sudah kita kenalpasti melampaui batas.

Ada orang melampaui batas apabila masa yang ada sepatutnya diisi dengan berusrah, tadabbur Al-Quran, mengulangkaji pelajaran diisinya dengan menelaah cerita-cerita Korea, melayari internet bukan pada yang sepatutnya atau apa sahaja bentuk kerugian pada dirinya.

Kerugian yang digariskan sebagai melampaui batas untuk dirinya. Sebagaimana kita insan yang lemah dan tidak sempurna, hitunglah diri bahawa sebenarnya kita pernah melampaui batas. Cuma, kita sering sahaja meng’indah’kan perlakuan melampaui batas itu.

"dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdo’a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdo’a kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan." [Yunus: 12]

Astaghfirullahal ‘azim! Sesaknya dada memikirkan bahawa diri pernah melampaui batas. Buatlah U-turn. Fitrah manusia itu akan kembali kepada Tuhannya.

Lupakah kita akan beberapa ciri golongan beriman yg ALLAH Taala sebutkan di dalam surah Al-Mukminuun? rujuk Surah Al-Mukminuun ayat 1-10

Mereka yang khusyuk solatnya,

menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna,

menunaikan zakat,

memelihara kemaluannya (kecuali kpd isteri-isteri yg sah),

memelihara amanah-amanahnya,

dan memelihara solatnya.

Ini bukan pernyataan yang keras dan rigid, tetapi inilah hambatan yang keluar akibat merusuhnya sikap melampaui batas, sehingga memerlukan masa untuk beruzlah dan bermuhasabah. Seterusnya berubah kepada hasanah.

Sungguh, diri ini lupa atau sengaja lupa bahawa orang yang mampu menahan dirinya dari hawa nafsunya akan dapat menjaga dirinya dari kecenderungan berbuat buruk. Mendidik diri untuk menyukai apa yang disukai oleh ALLAH S.W.T walaupun bertentangan dengan kehendak kita dan mendidik diri untuk membenci apa yang tidak diredhai oleh ALLAH S.W.T walaupun kita gemar sekali kepadanya.

Potret golongan manakah yang mahu kita contohi? Mereka yang disebut sebagai golongan kanan atau mereka yang disebut sebagai golongan kiri?

Pilihan di tangan kita. Jauh jalannya, sukar mengekalkannya, namun berdoa dan beramallah agar kita tidak menjadi dari kalangan mereka yang tersalah pilih.

ALLAH jangan tinggalkan aku lagi –wali band