Thursday, June 11, 2009

Hamilatul Quran


Baru-baru ini, semasa membantu mengemas rumah untuk kenduri kahwin abgku, sempat aku menonton tv untuk rancangan Hafaz Quran di RTM 1. Dua orang peserta yang berpeluang aku hayati bacaan mereka adalah peserta muslimin dari Negeri Sembilan dan peserta muslimat dari negeri terengganu. Indah bacaan mereka. Penuh tartil dan begitu merdu dilagukan.

”Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan ’Tartil’ ”.
(Al-Muzammil: 4)

Tak semena-mena, aku cuba bandingkan diri ku dengan mereka yang ternyata bezanya bagai Bumi dengan Musytari. Aku pernah bersekolah di sebuah maahad tahfiz di Kuala Selangor selama lebih kurang tiga tahun. Dari tingkatan 1 sehingga awal tingkatan empat. Hampir 18 juzuk sempat ku hafaz dan tasmie’ di sana. Namun, kehendak mak dan abah yang menginginkan aku agar meneruskan pembelajaran di dalam bidang sains menyebabkan pengajianku di pondok moden itu terhenti.

Aku menerima taqdir yang meletakkan aku di jalan ini, Cuma yang ku kesalkan sehingga ke hari ini adalah aku masih tidak mampu untuk menghabiskan hafazan dan yang paling penting aku masih tidak dapat mengekalkan 18 juzuk yang telah aku hafaz semasa di maahad dulu. Dan semua ini adalah disebabkan kekhilafan diriku yaang amat lemah ini.

Masih teringat-ingat suasana di maahad yang mendamaikan. Suasana hamilatul Quran menyegarkan jiwa yang haus. Sebelum boleh memperdengarkan ayat yang dihafaz kepada ustaz atau ustazah, kami terlebih dahulu perlu membaca dengan tajwid yang betul. Dan bacaan tersebut diulang-ulang kadang-kadang lebih 15 kali bagi menguatkan hafazan. Pesan Ustaz Rauf, dia mengingatkan kami agar mengulang bacaan sehingga 40 kali bagi mengelakkan lupa.

Dan kami akan berlumba-lumba untuk menjadi orang yang terawal tasmie’ di hadapan ustaz atau ustazah. Bukannya apa, sekiranya sudah selesai tasmie’ kali pertama, kami berpeluang menambah muka surat hafazan. Bagi yang rajin dan cepat mengingat, di dalam sehari boleh mencapai sehingga lima muka surat atau lebih di dalam sehari. Bagi yang kurang, mungkin dua muka surat atau satu atau setengah muka surat.

Perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap al-Quran menggariskan ahlinya dengan sempadan yang melalaikan. Bukankah al-Quran itu kalam ALLAH? Membaca, mentadabbur, menghafaz, dan menghayati di dalam perbuatan sehari-hari meletakkan ahlinya dalam kehidupan mengingati ALLAH.

Mencari keberkatan al-Quran itulah yang sedang ku cari. Bahkan seluruh pelosok manusia begitu menginginkannya walaupun mereka berasa cukuplah dunia bagi mereka. Aku kesal aku tidak mampu lagi untuk menghabiskan hafazan yang masih berbaki 12 juzuk, namun aku paling kesal sekiranya aku sengaja berasa bahagia ditinggalkan keberkatan al-Quran. Wana’udzubillah.

Angin terus saja membuai menyejukkan, bumi masih lagi berputar mengikut orbitnya, sebentar lagi bulan kan timbul menyinari malam, aku kan terus menyeru diri untuk mencari sakinah kalam MU ya ALLAH. Biiznillah, InsyaALLAH.

0 comments: