Friday, June 19, 2009

Cerita Sang Naqibah

Aku amat tertarik untuk mengetengahkan topik ini sekali lagi. Terima kasih kepada sahabatku, Pearl Mutiara dan Nix atas komentar yang diberikan untuk entry ‘Aduhai Naqibah’.

Cerita Sang Naqibah ku mulakan dengan membawa pembaca mengenali watak sahabatku yang ku gelarkan sebagai Miss T di sini. Miss T seorang naqibah. Mungkin empat tahun belum cukup untuk ku kenali sepenuh karekternya, namun satu perkara yang ku cukup pasti Miss T naqibah penyayang. Penyayangnya bukan kepura-puraan.

Miss T kalah berbicara. Miss T tak pandai berpidato. Miss T banyak diam. Namun, Miss T kaya rasa ikhlas. Pernah suatu ketika anak usrah Miss T sakit. Bukan sehari dua, banyak hari sakitnya dan banyak pulak ragamnya. Namun, aku cukup kagum kerana yang terus sahaja bersabar melayan dan merawat bukanlah teman sebilik anak usrah tersebut, tetapi Miss T. Miss T tekun mengurut, membuat air, menjaga sehingga anak usrahnya lena. Naqibah-naqibah lain ada membantu tetapi tidak sesabar Miss T.

Ku teladani lagi Miss T dan anak usrahnya yang seorang ini. Miss T nasihat, anak usrahnya mendengar. Miss T bergurau, anak usrah bertambah sayang padanya. Miss T menegur, anak usrahnya lunak menurut. Sehingga terbukti anak usrahnya sekarang menjadi salah seorang ‘amilin yang hebat gerak kerjanya. Kalau ditanya padaku, apakah penyumbang kehebatan gerak kerja anak usrah tersebut, akan kujawab keikhlasan Sang Naqibah dalam mendidik anak usrahnya. Keikhlasan Miss T memang tidak tertulis di mana-mana, tetapi ianya terpancar pada wajah dan perlakuannya.

Nak tau cerita Sang Naqibah yang lain? Ada seorang naqibah yang ku kenali sangat pandai berhujah. Ramai anak usrah tertarik dan merasa enjoy untuk berusrah dengan naqibah ini. Tambahan pula, naqibah ini kreatif orangnya. Pelbagai cara dibuat untuk menjadikan halaqah yang dibuat tidak bosan. Kadang-kadang dia akan menayangkan video dalam usrahnya, kadang-kadang dia akan membuat peta minda bersama anak usrahnya. Bahkan, naqibah ini selalu menyediakan modul-modul permainan untuk dikongsikan bersama anak usrah. Pendek kata, naqibah ini akan sentiasa berusaha membuat pelbagai method penyampaian supaya halaqahnya bersama anak-anak usrah halaqah yang menarik.

Namun, taqdir ALLAH mengatasi segala perancangan. Tiada seorang pun daripada anak usrah tadi berminat untuk menyambung tugasan da’wah. Dinasihat tidak mahu, dipujuk tidak hendak, dirayu tetap menolak. Sang Naqibah berasa sedih. Di mana silapnya dalam mendidik anak-anak usrahnya? Sang Naqibah bermuhasabah. Katanya, dia naqibah kurang ikhlas. Katanya lagi, dia mungkin bijak menyampaikan ilmu, tetapi tidak dalam mempengaruhi hati mad’u.

Oh, aku ada satu lagi cerita Sang Naqibah. Pernah anda mendapat mad’u yang menangis apabila anda sebagai naqibah secara tidak sengaja tidak mempedulikan kehadirannya? Jika ya, anda sangat beruntung. Dan aku pula beruntung kerana berpeluang mengenali naqibah ini. Sang naqibah yang ku maksudkan sememangnya mempunyai pakej yang hampir lengkap sebagai naqibah. Dia petah berhujah. Dia rajin menambah ilmu, apa sahaja koleksi buku dan bahan bacaan yang dimiliki pasti akan habis dikhatamkan. Dia juga cakna mad’u. Masalah-masalah yang dihadapi mad’u seboleh mungkin dia membantu walaupun kemungkinan dia tidak mampu. Dan aku pernah mendengar esak tangisnya ketika dia sujud di sepertiga malam. Siapa lagi yang didoakannya kalau bukan anak-anak usrah yang dikasihi selain keluarga,murobbi dan sahabat-sahabatnya?

Tidak hairanlah anak usrahnya begitu. Rupa-rupanya jiwa mereka diikat kerana ALLAH yang Satu. Bagaikan ada satu tali yang maha halus menghubungkan kasih mereka. Bukankah mereka yang berkasih sayang kerana ALLAH bakal mendapat naungan di akhirat kelak? Lihat kini, jangan kan di akhirat, di dunia sahaja ALLAH memberikan ni’mat sebegitu rupa. Subhanallah walhamdulillah.

Demikianlah tiga kisah Sang Naqibah yang mampu ku ceritakan. Banyak rupanya karektor-karektor yang harus dijiwai untuk mereka yang bergelar Sang Naqibah. Aku sendiri tidak mampu untuk menjadi naqibah yang berdedikasi lantaran ego dan dosa-dosaku ini. Wahai diri! Wahai naqibat! Sudahkah kita mengkoreksi diri untuk bersedia melakukan yang terbaik bagi memikul amanah ini?

Kita bukan siapa-siapa, tetapi kita adalah hambaNYA yang sedang mengembara menjejaki redha Tuhan. Bersediakah kita menjadikan jalan Sang Naqibah sebagai salah satu jalan untuk mencapai mardhatillah?

6 comments:

monera said...

Alangkah bahagianya Miss T, kerana keikhlasannya. Saya rasa macam tahu siapa Miss T.. Allah permudahkan dia saat dia punyai masalah. Tenang saja. Beruntungnya dia. Semoga saya berjaya mencontohi beliau. Semoga pintu rezekinya dibuka seluasnya, dan dpermudahkan ALLAH sentiasa..

Ya, keikhlasan perkara yang kita tak boleh galang ganti.

Keikhlasan..

Biarpun kecil kita lakukan, tetapi kiranya ikhlas xdibelakangi, insha’Allah, nilainya besar disisiNYA. Apatah lagi besar dilakukan dengan penuh keikhlasan, pasti lebih berganda nilaiannya disisi ALLAH. Hebat setara mana pun, jika keikhlasan di letakkan belakang, maka sukar kita menerima pertolongan dari ALLAH. Dalam apa jua keadaan sekali pun.

Adapun mempunyai pakej yang lengkap sangatlah di idam-idamkan. Benar tiada manusia yang sempurna. Tetapi pakej lengkap seorang naqibah,saya masih tetap menginginkannya. Beruntungnya naqibah tu. Jika sang naqibah itu dari kalangan kita semua, temukan saya dan ajarkanlah saya agar saya mencapai tahap keikhlasan dan mempunyai pakej yang cukup baik untuk saya berkerja dengan kualiti yg tinggi demi Islam.

saya budak, sedang belajar.. bantu juga saya ya sang naqibah.

>>kearah pemerkasaan nuqaba'

"Kita bukan siapa-siapa, tetapi kita adalah hambaNYA yang sedang mengembara menjejaki redha Tuhan. Bersediakah kita menjadikan jalan Sang Naqibah sebagai salah satu jalan untuk mencapai mardhatillah?"

Anonymous said...

isk..iskk.. nak nangis pulak rasenye, mmg menyentuh hati ini, terase diri sgt jauh ke belakang,

Anonymous said...

Ana sgt berminat dgn Entry "Cerita Sang Naqibah" ini. Bnyk input yg blh diambil terutama buat sang naqibah yg bkal mendpt mad'u pd pembukaan sem yg baru ini. Begitu juga blh dijdkn panduan buat sang naqib. Buat penulis, truskan usaha utk mewarnai lg blog nti dgn cerita2 @ pengalamn2 yg blh dijadikan tauladan terutamanya buat diri ini. Syukran=)

KuMahuCahaya said...

salam.. syukran atas komen2 yg membina. alhamdulillah, ana sangat bersyukur krn ramai naqib dan naqibah masih punya "diri naqib" dalam diri mereka.
semoga cuti semester yg panjang menjadikan kita lebih bersedia utk wat terbaik utk mencuri hati mad'u. pesanan utk diri sendiri ni.

*ana rasa mcm kenal both of anonymous.. syukran atas kunjungan
*thanks pearl, awak mmg best!. hehe

Junaidi Al-Putatani said...

Assalammualaikum...

Walauapapun, keikhlasan hati seorang naqib/ah adalah sangat penting bagi menarik anak buah usrah agar menyambung tugasan dakwah..

Kalau hati kita ikhlas, sedikit yang kita sampaikan, menusuk dalam kedalam hati orang yang kita nak sampaikan, diingati sampai bila-bila... Kita boleh jadi contoh yang sangat bagus olehnya jika kita ikhlas..

Namun, ikhlas itu, cakap senang, tapi hakikatnya susah kita nak mencapainya..Hanya kita dan allah sahaja yang tahu....

Bagi ana, naqib/ah yang bagus adalah naqib/ah yang dapat mengubah anak buah usrahnya daripada yang tiada fikrah perjuangan islam kepada suka dan bersemangat memperjuangkan islam... Jika tidak sekalipun, seorang naqib/ah itu dapat mengubah seorang yang dahulunya hidup tanpa rasa bertuhan kepada seorang yang dapat merasa manisnya hidup dengan rasa bertuhan

Anonymous said...

best bce artikel ni. ayat2 yg mudah fhm n mnusuk kalbu.