Saturday, September 5, 2009

Hari Jadi Ukhuwah


“ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan kamu, ALLAH selamatkan Hidayah Rahim, ALLAH selamatkan kamu”

Masih terngiang-ngiang lafaz doa berlagu itu di telinga dan fikiranku. Bukan kerana aku acap kali melihat video yang kurakamkan ketika mereka menyanyi beramai-ramai sebulan yang lalu, namun bagiku di situ, ketika itu, aku merasakan sesuatu. Sesuatu yang manis cukup membuatkan rasa bahagia bertamu.

Mulanya, hanya sahabat terdekat yang datang ke bilik meraikan sambutan hari lahir, siap kena paksa minum kopi radix masin hasil pakatan Lia dan Fatihah. Tetapi, selepas itu, tetamu yang datang semakin ramai. Adik-adik usrah yang dahulunya malu-malu menegur kami, ketika itu merekalah yang datang menyeri. Usik mengusik, bertanya khabar, seolah-olah pertemuan sebuah keluarga besar di hari perayaan.

Kebetulan, hari lahirku sama dengan hari lahir adik usrahku, Ayu. Jam 12 malam tidak menjadikan kami mengantuk, sebaliknya detik itu menjadi permulaan ikatan yang erat di antara kami yang sudah ‘veteran’ ni dengan adik-adik penyambung mata rantai perjuangan da’wah. Permulaan untuk kami ikat kuatkan pertalian kami. Permulaan untuk ukhuwah bakal teruji.

Di dalam usrah, masing-masing laju sahaja berbicara soal ukhuwah. Ukhuwah itu persaudaraan. Ukhuwah itu terjalin atas ikatan aqidah. Ukhuwah itu tolong-menolong. Ukhuwah itu bersangka baik. Ukhuwah itu bergurau senda. Dan lagi, ukhuwah perlu saling memahami.

Tapi, sentuh bab reality, masing-masing perlu mengakui bahawa kita pernah cuai di dalam berukhuwah. Kita lupa, bergurau tak ingat dunia bukannya tanda ukhuwah adalah sejati. Tapi, boleh jadi makan diri kerana kita mungkin menyakitkan hati. Kita juga lupa, atau sengaja lupa, waktu sahabat ditimbunkan bebanan kerja, tak terdetik pun rasa nak tolong sahabat, kononnya kita juga punya beban kerja terlampau. Walhal, tolong itu banyak cara. Buatlah ikut yang kita paling mampu.

Kita juga kadang-kadang fail dalam memberi dan menerima nasihat. Dah tau sahabat tengah merudum sedikit semangat beribadahnya, kita hanya biarkan sahaja. “Biarlah, pandailah dia sendiri terasa yang dia dah lama tak solat berjemaah”. “ Isy, aku tegur nanti terasa hati pula”. Dan bermacam lagi alasan yang tidak menyumbang kepada erti ukhuwah.

Menegur kan perlu berhikmah. Hikmah itu berbeza bagi setiap individu. Sebahagiannya lunak hati apabila ditegur dengan lembut dan tidak mencela. Sebahagiannya pula lunak hati apabila ditegur dengan tegas. Yang sedikit dahsyat, sebahagiannya akan tersedar dirinya lalai, apabila dia dipukul atau dipulau. Buatlah macam mana pun, tetapi pastikan bil hikmah. Jangan tanya padaku, kalau si fulan itu, bagaimana nak tegur dia secara berhikmah, kerana anda lebih tahu akan sifat dan perangai sahabat-sahabat anda. Tidak kira, lembut, sederhana atau keras cara anda, jangan lupa anda kasihkan sahabat anda, kerana itu anda menegur.

Begitu juga dalam bab menerima nasihat. Jangankan kalian, yang menulis ini pun punyai ego. Tapi, siapalah kita ini nak merasakan diri sendiri betul sentiasa. Bukankah kita semua ini hambaNYA yang sedang berusaha menjadikan dunia sebagai ladang untuk kita tuai hasilnya di akhirat kelak? Mohonlah kepada ALLAH moga-moga kita tak putus berusaha untuk ikhlas dalam menerima teguran.

Omar Al-Telmesani menceritakan ahli Ikhwanul Muslimin sebahagian besarnya sering bertanya kembali apakah kesalahan mereka apabila ditegur atau dikritik. Sekiranya didapati mereka tidak melakukan kesalahan bagi sesuatu yang telah ditegur itu, mereka terus memuji ALLAH kerana mereka sedang berada di dalam kebaikan, dan tidak merasa kecil hati kepada orang yang telah mengkritik.

Sebaliknya, sekiranya benar mereka telah melakukan kesalahan dalam teguran itu, mereka segera memperbaiki kesilapan mereka dan memuji ALLAH.Maafkanku kerana aku bukan orang selayaknya itu mengulas panjang soal ini, kerana aku juga pernah ditegur dan dikritik baik secara lisan dengan lembut atau tegas mahupun secara perbuatan. Bohonglah jika ku katakan, sekali pun aku tidak pernah terasa atas kritikan. Namun, bila dihitung kembali, atas sebab menerima teguranlah, kita mampu kembali bahagia beribadah dengan petunjuk ALLAH. Sebab apa? Sebab aku punyai sahabat yang ikhlas menegur dan mampu mencantikkan lagi ukhuwah antara kami.

Menyentuh soal ukhuwah, sungguh ia tidak kan habis. Pandulah hati dan fikiran ketika berukhuwah. Kerana ukhuwah akan sentiasa teruji dalam keadaan yang kita mahu ataupun tidak.

“ Pada hari sahabat-sahabat karib: sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal saleh)” – Az-Zukhruf: 67

Buat adik-adik yang sedang kudalamkan sayang kerana ALLAH, mahu tahu sebuah harapan seorang ahli Ikhwanul Muslimin berkaitan ukhuwah?

Beberapa orang ahli Ikhwanul Muslimin telah dipanggil ke Kaherah untuk disoal siasat oleh pegawai suruhan Gamel Abdul Nasser pada awal Ramadhan thn 1965. Perjalanan dari penjara ke mahkamah menjelang maghrib menyebabkan mereka terpaksa berbuka puasa di tengah perjalanan. Mengetahui sahabatnya seorang yang tidak tahan lapar, salah seorang dari keduanya, telah memberi makanannya kepada sahabatnya tadi, bahkan apabila tiba waktu penyiasatan pada jam 10 malam, sahabat yang memberi makan tadi masih tidak berbuka.

Akhlak yang ada pada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin ketika soal-siasat menyebabkan pegawai-pegawai penyiasat merasa tertarik. Kata pegawai tersebut, “ Aku hendak bercakap-cakap sekejap dengan anda. Aku sungguh tertarik dengan adab dan ketenanganmu, maka apakah gerangannya yang membuat kamu menyertai kumpulan mereka yang menjadi pengancam keamanan itu?” (Bagi pegawai itu, Ikhwanul Muslimin adalah pengancam keselamatan).

Jawab ahli Ikhwanul Muslimin tersebut, “ Aku telah bergaul dengan mereka (Ikhwanul Muslimin) semenjak lebih 30 tahun, aku telah bersama dengan mereka pada waktu mereka senang dan susah, gembira dan dukacita. Aku suka bergaul dengan mereka dan aku akan terus kekal bersama mereka, walau bagaimana sekalipun qada dan qadar yang ditentukan ALLAH”.

Bersedialah, selesai ku noktahkan tulisanku ini, pastinya aku menerima ujian dalam berukhuwah. Cuma, waktunya tidak ku pasti. Bahkan, aku juga tidak pasti bagaimana caranya mengawal masalah ukhuwah itu nanti, tetapi satu doaku, semoga ukhuwah yg kan teruji itu menjadikan kami semua semakin matang dan bersyukur atas ni’mat ukhuwah.

Masih samar lagi bagaimana untuk anda menyumbang kemanisan ukhuwah? Mulakan dengan kita berdoa ketika sujud di sepertiga malam. Doakan semoga ALLAH mengampuni dosa kita dan dosa sahabat-sahabat yang dikasihi, mudah-mudahan kita semua tergolong dari golongan yang mendapat naungan ALLAH di akhirat kelak. Amin.


Thursday, June 25, 2009

SPB (Bahagian Akhir)


Hari ini adalah hari terakhir aku bekerja di Jabatan Bendahari sebelum semester baru dibuka. Hari ini juga Jabatan Bendahari menerima pekerja baru di Bahagian Pembayaran. Namun, aku tidak sempat berkenalan dengan staf tersebut. Esok pula merupakan hari terakhir bagi Ayu menghabiskan latihan praktikal di sini sebelum dia meneruskan kuliah di KIPSAS nanti.

“Learning by doing”. Ungkapan ini memang tepat buat kami bertiga. Emm, mungkin berempat termasuk Ayu. Bezanya, kami bertiga bermula dengan zero di dalam bidang perakaunan. Kami tidak tahu apa itu ‘Local Order’, ‘Deliver Order’, ‘Payment Voucher’, ‘Invois’, ‘Statement of Account’, ‘Bill Registration’ dan lain-lain lagi secara ilmu kuliah. Tetapi, kami tahu sedikit sebanyak mengenai istilah-istilah tersebut apabila kami dengan sendirinya melaksanakan kerja-kerja yang berkaitan dengannya.

Alhamdulillah, kami (rasa-rasanyalah termasuk Fiza dan Kak Nad) sudah selesa membuat kerja-kerja mencetak cek, envelope cek, filing ribuan keping baucer bayaran, menyemak status penyata akaun, berhubung sendiri dengan pihak pembekal berkaitan masalah pembayaran, malahan bilik baucer menjadi bilik yang paling kami sukai apabila bekerja di sini. Berbeza dengan pembawaan kami pada awal-awal dahulu yang mungkin kurang rasa keyakinan, banyak berbuat kesilapan, tidak faham arahan yang diberikan, dan sebagainya.

Mungkin sebabnya kami banyak dibantu oleh staf-staf di situ terutamanya Puan Mai, Kak Suzi, dan Aza. Jangan tak tahu, kami pun pernah kena marah. Marah tunjuk ajar namanya, huhu. Kami memang tak simpan di dalam hati sebabnya marah Puan Mai nak kami cepat belajar membuat kerja. Lagipun, staf-staf di situ lagi banyak kerja daripada kami. Sibuk sepanjang masa.

Sebut pasal Puan Mai, boleh ke nak cerita sesuatu? Sekarang ni, Puan Mai sedang sarat mengandungkan anak sulungnya yang dijangka lahir pada akhir Julai atau awal bulan Ogos. Menariknya, Puan Mai berkahwin dengan staf di Jabatan Bendahari juga, namanya Encik Tarmizi berjawatan sama dengan Puan Mai iaitu Penolong Akauntan.

Sarat-sarat Puan Mai, rasanya dialah yang paling laju dalam membuat kerja. Jarang kami melihat Puan Mai berehat atau tidak membuat kerja. Sangat berdedikasi dan kuat semangat. Sekiranya aku berkelayakan untuk mengundi pekerja cemerlang, akan ku undi Puan Mai kerana integritinya dalam bekerja. Puan Mai bukan sahaja cekap membuat kerja, bahkan punyai sifat amanah, tepati masa, dan yang paling penting, kebergantungannya kepada ALLAH Taala. Kak Nad, dan Fiza...agak-agaknya boleh ke kita mencontohi sifat-sifat mahmudah tersebut? Bak kata adikku, Shahaidah, marilah mengkoreksi diri.

Banyak perkara yang ku pelajari untuk tempoh waktu menjadi pelajar bekerja. Aku belajar menyampaikan pesanan secara teratur daripada Encik Sapri. Aku belajar pelajaran merendah diri daripada Puan Zaida, PA Encik Din. Aku belajar ringan tulang daripada Encik Faizal. Aku belajar menjadi baik hati daripada Kak Shahida. Aku belajar pelajaran sopan dan mesra daripada Puan Norbani. Aku belajar humor daripada Encik Saipun. Aku belajar menghormati orang lain daripada Puan Shikin.

Hidup ini adalah pelajaran yang paling baik. Dalam mencari kebahagiaan dunia dan akhirat, kesilapan, ketidak matangan, perlulah dijadikan pelajaran yang paling berharga. Bertebaranlah kita semua di atas muka bumiNYA, namun, jangan lupa siapa kita dan untuk apa kita dijadikan.

Coretan SPB mungkin setakat ini. Sekejap pula rasanya. Ayu ku salami mengeratkan ukhuwah. Dah nak menitis air mata kami semasa bersalaman. Semoga berjumpa lagi ye Ayu dan Jabatan Bendahari!. Hehe.. Untuk Kak Nad dan Fiza, selamat menerima gaji pertama dari Jabatan Bendahari hasil titik peluh sendiri.

Friday, June 19, 2009

Cerita Sang Naqibah

Aku amat tertarik untuk mengetengahkan topik ini sekali lagi. Terima kasih kepada sahabatku, Pearl Mutiara dan Nix atas komentar yang diberikan untuk entry ‘Aduhai Naqibah’.

Cerita Sang Naqibah ku mulakan dengan membawa pembaca mengenali watak sahabatku yang ku gelarkan sebagai Miss T di sini. Miss T seorang naqibah. Mungkin empat tahun belum cukup untuk ku kenali sepenuh karekternya, namun satu perkara yang ku cukup pasti Miss T naqibah penyayang. Penyayangnya bukan kepura-puraan.

Miss T kalah berbicara. Miss T tak pandai berpidato. Miss T banyak diam. Namun, Miss T kaya rasa ikhlas. Pernah suatu ketika anak usrah Miss T sakit. Bukan sehari dua, banyak hari sakitnya dan banyak pulak ragamnya. Namun, aku cukup kagum kerana yang terus sahaja bersabar melayan dan merawat bukanlah teman sebilik anak usrah tersebut, tetapi Miss T. Miss T tekun mengurut, membuat air, menjaga sehingga anak usrahnya lena. Naqibah-naqibah lain ada membantu tetapi tidak sesabar Miss T.

Ku teladani lagi Miss T dan anak usrahnya yang seorang ini. Miss T nasihat, anak usrahnya mendengar. Miss T bergurau, anak usrah bertambah sayang padanya. Miss T menegur, anak usrahnya lunak menurut. Sehingga terbukti anak usrahnya sekarang menjadi salah seorang ‘amilin yang hebat gerak kerjanya. Kalau ditanya padaku, apakah penyumbang kehebatan gerak kerja anak usrah tersebut, akan kujawab keikhlasan Sang Naqibah dalam mendidik anak usrahnya. Keikhlasan Miss T memang tidak tertulis di mana-mana, tetapi ianya terpancar pada wajah dan perlakuannya.

Nak tau cerita Sang Naqibah yang lain? Ada seorang naqibah yang ku kenali sangat pandai berhujah. Ramai anak usrah tertarik dan merasa enjoy untuk berusrah dengan naqibah ini. Tambahan pula, naqibah ini kreatif orangnya. Pelbagai cara dibuat untuk menjadikan halaqah yang dibuat tidak bosan. Kadang-kadang dia akan menayangkan video dalam usrahnya, kadang-kadang dia akan membuat peta minda bersama anak usrahnya. Bahkan, naqibah ini selalu menyediakan modul-modul permainan untuk dikongsikan bersama anak usrah. Pendek kata, naqibah ini akan sentiasa berusaha membuat pelbagai method penyampaian supaya halaqahnya bersama anak-anak usrah halaqah yang menarik.

Namun, taqdir ALLAH mengatasi segala perancangan. Tiada seorang pun daripada anak usrah tadi berminat untuk menyambung tugasan da’wah. Dinasihat tidak mahu, dipujuk tidak hendak, dirayu tetap menolak. Sang Naqibah berasa sedih. Di mana silapnya dalam mendidik anak-anak usrahnya? Sang Naqibah bermuhasabah. Katanya, dia naqibah kurang ikhlas. Katanya lagi, dia mungkin bijak menyampaikan ilmu, tetapi tidak dalam mempengaruhi hati mad’u.

Oh, aku ada satu lagi cerita Sang Naqibah. Pernah anda mendapat mad’u yang menangis apabila anda sebagai naqibah secara tidak sengaja tidak mempedulikan kehadirannya? Jika ya, anda sangat beruntung. Dan aku pula beruntung kerana berpeluang mengenali naqibah ini. Sang naqibah yang ku maksudkan sememangnya mempunyai pakej yang hampir lengkap sebagai naqibah. Dia petah berhujah. Dia rajin menambah ilmu, apa sahaja koleksi buku dan bahan bacaan yang dimiliki pasti akan habis dikhatamkan. Dia juga cakna mad’u. Masalah-masalah yang dihadapi mad’u seboleh mungkin dia membantu walaupun kemungkinan dia tidak mampu. Dan aku pernah mendengar esak tangisnya ketika dia sujud di sepertiga malam. Siapa lagi yang didoakannya kalau bukan anak-anak usrah yang dikasihi selain keluarga,murobbi dan sahabat-sahabatnya?

Tidak hairanlah anak usrahnya begitu. Rupa-rupanya jiwa mereka diikat kerana ALLAH yang Satu. Bagaikan ada satu tali yang maha halus menghubungkan kasih mereka. Bukankah mereka yang berkasih sayang kerana ALLAH bakal mendapat naungan di akhirat kelak? Lihat kini, jangan kan di akhirat, di dunia sahaja ALLAH memberikan ni’mat sebegitu rupa. Subhanallah walhamdulillah.

Demikianlah tiga kisah Sang Naqibah yang mampu ku ceritakan. Banyak rupanya karektor-karektor yang harus dijiwai untuk mereka yang bergelar Sang Naqibah. Aku sendiri tidak mampu untuk menjadi naqibah yang berdedikasi lantaran ego dan dosa-dosaku ini. Wahai diri! Wahai naqibat! Sudahkah kita mengkoreksi diri untuk bersedia melakukan yang terbaik bagi memikul amanah ini?

Kita bukan siapa-siapa, tetapi kita adalah hambaNYA yang sedang mengembara menjejaki redha Tuhan. Bersediakah kita menjadikan jalan Sang Naqibah sebagai salah satu jalan untuk mencapai mardhatillah?

Tuesday, June 16, 2009

Sinisan Prejudis


Selalu sangat ku dengar kata-kata sinis, ”Budak-budak masjid selalu dengan budak-budak masjid je”. Atau begini, ” Set-set tudung labuh berkawan dengan set-set dia je”. Lagi pedih, sekiranya ada tuduhan, “ Macam ni ke budak-budak masjid. Perangai entah apa-apa”.

Ini adalah sebahagian contoh yang ku kira sinisan-sinisan yang prejudis. Salahkah menjadi golongan ’masjid’? Teruk sangatkah apabila orang melabel kita dengan panggilan ’geng masjid’?

Entahlah bagaimana orang lain memahaminya, tetapi yang aku faham bukankah sejuk hati ibu mengandung sekiranya anak yang dilahirkan dan dibesarkan dikenali sebagai orang yang mencintai masjid berbanding anak tersebut dikenali dengan mereka yang suka melepak, berpasangan secara melampau batas, atau kaki wayang?

Dan sekiranya mereka yang digelar ’geng masjid’ ini berbuat kesilapan, akan tersebarlah kononnya budak-budak masjid ini sama sahaja dengan ’geng-geng’ lain yang wujud di muka bumi ini. Sehingga mereka merasakan lebih baiklah tak perlu ke masjid untuk solat berjemaah kalau sudah terbukti ’geng masjid’ juga berbuat kesilapan.

Aduhai manusia! Begini tidak boleh, begitu tidak kena. Tidak kiralah anda tergolong daripada ’geng’ mana sekali pun, anda semuanya sama di sisi Tuhan melainkan taqwa. Mereka yang ke masjid aku yakin insyaALLAH bahawa mereka semuanya mahukan ganjaran kebaikan yang dijanjikan ALLAH Taala kepada mereka yang menunaikan solat berjemaah. Bahkan Rasulullah S.A.W turut menjadikan masjid sebagai tempat pertautan ukhuwah, tempat musyawarah, tempat menyampaikan ilmu, dan sebagainya.


Rasulullah s.a.w bersabda:

Tidak ada tiga orang (lelaki) dalam sesebuah kampung atau sesebuah desa yang tidak mengerjakan sembahyang berjemaah, melainkan mereka (mudah) dikuasai oleh syaitan (dengan menjadikan mereka mencuaikan perintah syara’); oleh itu hendaklah engkau sentiasa menyatukan diri dengan jemaah (kerana dengan itulah sahaja engkau akan selamat dari angkara syaitan) (Riwayat Imam Ahmad).

Aku bukannya bermaksud bahawa mereka yang dilabel “geng masjid’ ini adalah baik-baik orangnya serta jarang berbuat kesilapan, namun percayalah sekurang-kurangnya usaha mereka dalam mendidik nafsu untuk tunduk kepada kebaikan seharusnya diberi perhatian.

Mengenai pergaulan “geng masjid’ yang dikatakan hanya tertumpu kepada ‘geng masjid’ sahaja, aku juga ingin tau apa justifikasinya kata-kata itu, kerana rata-rata urusan manusia di dunia ini tidak tertumpu kepada satu perkara sahaja. Misalnya, sebagai seorang siswa di universiti, tentu sahaja pelbagai urusan di fakulti, kuliah, program-program, kolej kediaman dan sebagainya menyebabkan manusia itu perlu berukhuwah dan menjalinkan persahabatan dengan ramai orang yang mempunyai pelbagai latar belakang. Tak terkecualilah kepada “geng masjid’.

Namun, aku juga tidak menafikan disebabkan corak fikrah yang sama, kesukaan dan kebencian yang hampir sama, keserasian persahabatan dan lain-lain menyebabkan beberapa urusan lebih selesa diusahakan bersama ‘geng masjid’ seperti mana ‘geng lepak’ selesa berurusan dengan ‘geng lepak’ mereka, ‘geng rakan muda’ serasi bersama ‘geng rakan muda’, serta ‘geng memanah’ selesa bekerja dengan ‘geng memanah’ mereka.

Sudah-sudahlah berprejudis. Kerana prejudis hanya menyebabkan umat Islam berpecah. Jangan diikut bisikan syaitan yang mahukan umat Islam berpecah walaupun hanya penyebab yang kecil. Label ‘geng masjid’ perlu jelas bahawa ianya bukan untuk dibanggakan atau dicemuh, sebaliknya jadikanlah sebagai satu peringatan atau benteng untuk diri menjauhkan maksiat selagi terdaya.

Tulisan ini bukannya tulisan menyalahkan sesiapa, Cuma luahan rasa muak dan jemu terhadap prejudis-prejudis yang langsung tidak membawa manfaat. Maafkan aku sekiranya kelihatan aku 'mengkelaskan' manusia yang ku sebut sebagai 'geng-geng'. Ianya tidak lain dan tidak bukan hanya merespon sinisan yang berlaku di dunia realiti. Semoga diriku ini berterusan belajar bersangka baik dengan manusia lain, dan terus belajar menjadi hambaNYA yang solehah, insyaALLAH

Monday, June 15, 2009

Aduhai Naqibah


Semester hadapan bakal bermula lebih kurang tiga minggu sahaja lagi di kebanyakan pusat pengajian. Dan naqib naqibah kampus bakal mendapat mad’u atau anak usrah yang baru, insyaALLAH.

Dan semuanya bakal berlaku sama seperti tahun-tahun yang lepas. Dalam puluhan orang naqibah, ramai yang streotaip. Seperti biasa, aku tidak menuding jari kepada mana-mana individu atau pihak, sebaliknya ini adalah muhasabah jujur untuk diriku yang masih hijau dalam menjadi naqibah, sekaligus kepada yang membaca sekiranya ia bermanfaat untuk diri mereka.

Ada segelintir naqibah yang memahami peranan mereka hanya sebagai pemberi ilmu mengikut silibus. Ruang perbincangan hanyalah dihadkan kepada tajuk-tajuk yang ada di dalam silibus sehingga tidak berani lari kepada perbincangan ilmiah lain atau sebarang bentuk interaksi lain yang bermanfaat dalam pembentukan sahsiah mad’u. Mungkin halaqah paling kurang seminggu sekali, namun perbincangan yang streotaip hanya membosankan mad’u.

Belum lagi dilihat kepada naqibah yang membawa banyak nota-nota silibus, buku-buku yang berkaitan semata-mata untuk dibaca di hadapan mad’u ketika usrah berjalan. Seolah-olah tiada persediaan yang dibuat oleh naqibah sebelum usrah. Kenapa tidak dibuat satu nota ringkas sahaja untuk dirujuk semasa usrah (teks panjang silibus perlulah difahami terlebih dahulu) dan berusrahlah bersama mad’u dengan yakin. Penyampaian sambil melihat sepenuhnya atau sebahagian besar kepada teks silibus hanya mengurangkan keyakinan diri sendiri dan keyakinan anak usrah kepada naqibah.

Sekiranya mad’u bertanya soalan, jangan ditutup terus ruang perbincangan hanya kerana naqibah tidak tahu atau tidak pasti jawapannya, Tidak mengapa dan tidak salah naqibah mengakui bahawa dia tidak mengetahui jawapan, namun berusahalah untuk mencari jawapan daripada mereka yang ’arif, dan kemudiannya menerangkan kembali kepada mad’u pada pertemuan berikutnya. Sikap ego seolah-olah naqibah tau semua persoalan-persoalan (walhal diri sendiri tidak pasti) hanya mengundang mudharat yang lebih besar. Kita mungkin sahaja memberikan jawapan yang salah semata-mata mahu memberitahu aku naqibah serba tau.

Sukar menjadi naqibah yang baik. Kerana rata-rata naqibah terlalu mementingkan hasil yang segera dan lumayan daripada anak usrah tanpa mementingkan usaha. Mungkin ramai yang beranggapan mereka telah pun menjadi naqibah yang baik hanya kerana usrah mereka berjalan setiap minggu. Mungkin juga ramai berkata mereka adalah naqibah yang baik kerana silibus telah habis dibincangkan. Pokoknya, anggapan-anggapan sebegini perlulah dicantas kerana anggapan-anggapan sebegini hanyalah untuk mereka yang tidak memahami tujuan dan peranan usrah.

Thursday, June 11, 2009

Hamilatul Quran


Baru-baru ini, semasa membantu mengemas rumah untuk kenduri kahwin abgku, sempat aku menonton tv untuk rancangan Hafaz Quran di RTM 1. Dua orang peserta yang berpeluang aku hayati bacaan mereka adalah peserta muslimin dari Negeri Sembilan dan peserta muslimat dari negeri terengganu. Indah bacaan mereka. Penuh tartil dan begitu merdu dilagukan.

”Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan ’Tartil’ ”.
(Al-Muzammil: 4)

Tak semena-mena, aku cuba bandingkan diri ku dengan mereka yang ternyata bezanya bagai Bumi dengan Musytari. Aku pernah bersekolah di sebuah maahad tahfiz di Kuala Selangor selama lebih kurang tiga tahun. Dari tingkatan 1 sehingga awal tingkatan empat. Hampir 18 juzuk sempat ku hafaz dan tasmie’ di sana. Namun, kehendak mak dan abah yang menginginkan aku agar meneruskan pembelajaran di dalam bidang sains menyebabkan pengajianku di pondok moden itu terhenti.

Aku menerima taqdir yang meletakkan aku di jalan ini, Cuma yang ku kesalkan sehingga ke hari ini adalah aku masih tidak mampu untuk menghabiskan hafazan dan yang paling penting aku masih tidak dapat mengekalkan 18 juzuk yang telah aku hafaz semasa di maahad dulu. Dan semua ini adalah disebabkan kekhilafan diriku yaang amat lemah ini.

Masih teringat-ingat suasana di maahad yang mendamaikan. Suasana hamilatul Quran menyegarkan jiwa yang haus. Sebelum boleh memperdengarkan ayat yang dihafaz kepada ustaz atau ustazah, kami terlebih dahulu perlu membaca dengan tajwid yang betul. Dan bacaan tersebut diulang-ulang kadang-kadang lebih 15 kali bagi menguatkan hafazan. Pesan Ustaz Rauf, dia mengingatkan kami agar mengulang bacaan sehingga 40 kali bagi mengelakkan lupa.

Dan kami akan berlumba-lumba untuk menjadi orang yang terawal tasmie’ di hadapan ustaz atau ustazah. Bukannya apa, sekiranya sudah selesai tasmie’ kali pertama, kami berpeluang menambah muka surat hafazan. Bagi yang rajin dan cepat mengingat, di dalam sehari boleh mencapai sehingga lima muka surat atau lebih di dalam sehari. Bagi yang kurang, mungkin dua muka surat atau satu atau setengah muka surat.

Perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap al-Quran menggariskan ahlinya dengan sempadan yang melalaikan. Bukankah al-Quran itu kalam ALLAH? Membaca, mentadabbur, menghafaz, dan menghayati di dalam perbuatan sehari-hari meletakkan ahlinya dalam kehidupan mengingati ALLAH.

Mencari keberkatan al-Quran itulah yang sedang ku cari. Bahkan seluruh pelosok manusia begitu menginginkannya walaupun mereka berasa cukuplah dunia bagi mereka. Aku kesal aku tidak mampu lagi untuk menghabiskan hafazan yang masih berbaki 12 juzuk, namun aku paling kesal sekiranya aku sengaja berasa bahagia ditinggalkan keberkatan al-Quran. Wana’udzubillah.

Angin terus saja membuai menyejukkan, bumi masih lagi berputar mengikut orbitnya, sebentar lagi bulan kan timbul menyinari malam, aku kan terus menyeru diri untuk mencari sakinah kalam MU ya ALLAH. Biiznillah, InsyaALLAH.

SPB (Bahagian Keempat)


Masuk minggu keempat dan kelima menjadi pelajar bekerja, alhamdulillah aku semakin selesa dengan tugasan di Jabatan Bendahari. Ku fikir Kak Nad dan Fiza juga begitu. Muka-muka tension sewaktu awal-awal bekerja diganti bergurau senda sesama kami dan staf di situ. Ingatkan staf di Jabatan Bendahari ni seyes sepanjang waktu, rupa-rupanya tidak. Dalam cekap kerja berjalan, humor turut diselitkan menambah ceria. Tapi awas, jangan sampai melakukan kesilapan yang kerap.

Hari ini untuk pertama kali aku perlu menelefon pihak pembekal berkaitan invois-invois yang masih belum berbayar. Kerja meng’update’ dan ’follow up’ pihak yang berkenaan telah Puan Mai serahkan kepadaku. Laporan dari masa ke semasa perlu ku sediakan untuk perhatian Puan Mai. Isy..ni dah jadi student akaun ni. Kene minta gaji lebih sikit. Huhu..

Betul, duit bukan segala-galanya walaupun segala-galanya di dunia ini dibeli dengan duit. Kalau tidak, masakan manusia sanggup bermusuhan, saling dengki walaupun dengan adik-beradik sendiri, malahannya paling teruk, ada manusia sanggup berbunuhan hanya kerana duit. Desakan hidup yang menghimpit memungkinkan manusia bertindak mengikut hawa nafsu. Sehingga mereka terlupa dengan janji ALLAH Taala yang dengan penuh Rahmah mengurniakan rezeki kepada hambaNYA mengikut aturan yang dikehendakiNYA.

Aku turut merasai keperitan kekurangan wang untuk beberapa ketika. Terutama pada semester lepas, di mana ujian ALLAH Taala berikan kepadaku dan keluarga. Si Hijau mengalami accident, dan beberapa keadaan yang memerlukan kewangan. Namun, di sebalik ujian, ALLAH berikan bantuan melalui sahabat-sahabat yang prihatin. Juga kesibukan dalam sehari-hari membuatkan aku lupa akan keadaan kewangan yang meruncing. Yang paling utama, ALLAH berikan rezeki kepadaku dalam bentuk yang lain pula.

Namun, aku sendiri tidak pasti bagaimana pembawaanku pada masa hadapan. Apakah aku akan tergolong dari golongan mereka yang ikhlas serta bersyukur atau aku menjadi dari kalangan mereka yang menuruti nafsu. Tiada lain yang ku harapkan melainkan petunjuk ALLAH S.W.T dalam mengharungi hidup ini. Moga jalanku, jalan keluargaku, jalan sahabat-sahabatku merupakan jalan yang dinaungi rahmat ALLAH Taala. Amiin.